.....

Semakin aku belajar, semakin aku sedar yang aku tidak mengetahui apa-apa.

Saturday, February 2, 2013

Supaya Tidak Terlalu Gembira

Merupakan sifat manusia, bergembira setelah memperoleh apa yang dihajati, dan bersedih dengan apa yang bertentangan dengan mimpi. Bila kita menerima sesuatu yang diidami, hati dan perasaan merasa bahagia. Jiwa tersenyum dan hati berbunga. Apabila ditimpa sesuatu yang langsung tidak pernah dimimpi, ataupun sesuatu yang bertentangan dengan kesukaan jiwa, maka selalunya kita terhenyak dan bersedih.

IA ADALAH FITRAH

Rasa gembira dan sedih, kedua-duanya adalah makhluk Allah yang dicipta olehNya. Ia boleh dicampak ke dalam diri manusia bila-bila masa sahaja mengikut aturanNya. Dan sepastinya penyebab rasa sedih dan gembira adalah sesuatu yang berbeza-beza antara manusia. Ada manusia, apabila gagal dalam pelajaran misalnya, rasa sedihnya tidak terhingga, sedangkan sahabatnya yang turut gagal tidak merasa apa-apa. Ada ketikanya, manusia sedih apabila ia dihina dan dicerca manusia, malahan ada saja manusia yang tidak peduli dengan kata-kata manusia dan tidak langsung menyebabkannya bersedih. Ada manusia yang menangis apabila kehilangan kucingnya, meskipun bagi manusia lain ia mungkin tiada apa-apa.

Begitulah manusia. Kegembiraan dan kesedihan tidak berjalan dalam satu taraf ataupun level. Ia berbeza-beza. Mengikut perasaan dan jiwa serta pengalaman manusia yang mengalaminya. Namun di balik perbedaan itu, satu perkara yang sama ialah, kedua-duanya adalah fitrah insaniah yang datang dari Tuhan.

Allah malahan berfirman :

Dan hari-hari (kegembiraan dan kesedihan) itu, Kami pergilirkan antara manusia (agar mereka memperoleh pengajaran) dan agar Allah membedakan orang-orang yang beriman (dan yang kafir).

( Surah Ali-Imran : 140 )

IA DIGILIRKAN

Sungguh, apabila kita melihat hari-hari yang telahpun kita rentasi, kegembiraan dan kesedihan itu dipergilirkan. Tidak ada manusia yang selamanya hidup dalam keadaan bahagia, tenang dan aman. Dan tidak ada juga manusia yang selamanya tenggelam dalam sedih dan dukacita. Boleh jadi pada hari ini, kita melihat seseorang sedang berada dalam keadaan yang sangat bahagia. Misalnya dia baru mendapat anak, ataupun memiliki kereta yang baharu. Pada hari ini, kita melihat dia begitu teruja. Mukanya berseri, senyumnya menyeringai sampai ke telinga barangkali! Namun, bagaimana pula besok? Boleh jadi sahaja, anak yang pada hari ini dia gembira dengan kehadirannnya, esok lusa menconteng arang ke muka, membawa kesedihan dan kepiluan dalam dada. Bagaimana pula dengan kereta? Boleh jadi kereta tersebutlah yang menjadi kenderaan terakhir anak isterinya pada esok ataupun lusa? Bukankah itu tidak mustahil!

Boleh jadi juga, pada hari ini kita menjumpai seorang manusia yang amat dukacita. Baru kematian suami yang amat dicintai. Suami itu sahajalah harapannya, tempat diabadi cinta, diadu nestapa, bermanja-manja, malahan saja tempat digantung nyawa dan raga. Namun takdir Allah, suaminya itu diambil kembali lebih awal daripadanya. Pastinya nestapa yang ditanggung, sangat luar biasa dan berat. Namun, apakah itu petanda berakhir hidup indahnya? 

AYUH HAYATI KISAH INI

Ummu Salamah kehilangan Abi Salamah. Ia kisah cinta agung. Lambang cinta isteri kepada suami. Ummu Salamah amat dukacita. Namun siapa sangka, Ummu Salamah mendapat pengganti yang lebih baik daripada Abi Salamah, iaitu pencinta agung baginda nabi s.a.w. 

GEMBIRA DAN DUKACITA YANG SEPATUTNYA

Kita perlu sedar dan tahu, bahawasanya perjalanan dunia ini tertakluk di bawah aturanNya. Setiap apa yang berlaku telahpun termaktub dalam rencanaNya termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan kegembiraan dan kesedihan. Kata Allah :

Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

( Surah Al-Hadid : 22 )

Islam meletak garis panduan bagi manusia, persoalan tentang bagaimana untuk manusia menghadapi kegembiraan dan dukacita. Kedapatan di dalam Quran, Allah menganjurkan hambaNya untuk bersikap sederhana dan tidak keterlaluan dalam menghadapi kegembiraan dan kesedihan. FirmanNya :

Supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput (hilang) daripada kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu.

( Surah Al-Hadid : 23 )

Manusia kadangkala apabila menghadapi gembira dan sedih, kita keterlaluan. Keterlaluan dalam gembira atas nikmat yang diberi hingga kita lupa segala-galanya, hatta lupa untuk tunduk bersyukur. Malah menjadi semakin egois dan tinggi diri. Al Quran merakamkan kisah Qarun :

Maka kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah, dan tiadalah dia termasuk orang-orang membela. 

( Surah Al-Qasas : 81 )

Qarun ditelan dengan nikmatnya yang melimpah ruah, kerana dia terlalu gembira dengan nikmat yang dikurniakan padanya hingga menimbulkan keegoan, lantas menafikan keEsaan Tuhan. Kegembiraannya telahpun bertukar menjadi derita yang berpanjangan.

Adapun manusia, apabila menghadapi dukacita, kadangkala sampai seperti tidak berTuhan. Dia menyalahkan takdir dan suratan, malahan saja putus asa dan tenggelam dalam kegelapan kesedihannya. Teman, apakah yang engkau tahu tentang dukacitamu itu berbanding Tuhanmu? Kata Allah :

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk bagimu. dan Allahlah yang mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya. 

( Surah Al-Baqarah : 216 )

Teman, kita merasa sengsara kerna sesuatu, namun sedalam apakah yang kita tahu tentang betapa hikmahnya Allah mentakdirkan begitu kepada kita? Misalnya mudah, seorang ibu memaksa anaknya yang kecil memakan ubat demam yang pahit. Anak kecil itu enggan kerna kepahitan ubat tersebut. Namun, hakikatntya si ibu mahu anaknya sembuh dan baik-baik saja. Apalah yang dapat difikirkan oleh si anak kecil yang masih belum mengerti itu. Begitulah tuntasnya kita. Allah mengetahui apa yang terhijab oleh kita. Barangkali saja, kesedihan hari ini, akan menyebabkan kita tersenyum bahagia di masa hadapan.

HAYATILAH PESANAN INI

Kata Saidina Ali r.a, 

Wahai anak Adam, janganlah keterlaluan gembira dengan kekayaan, dan janganlah keterlaluan berputus asa dengan kefakiran. Janganlah berdukacita dengan bencana, dan janganlah keterlaluan bersenang dengan kelapangan. Emas itu diuji dengan api. Seorang hamba yang soleh diuji dengan bala. Sesungguhnya engkau tidak akan mendapat apa yang engkau mahukan melainkan meninggalkan semua yang engkau mahukan itu. Engkau tidak akan mencapai cita-citamu kecuali dengan sabar menanggung apa yang tidak engkau sukai. Kerahkan segenap kemampuanmu untuk memelihara apa yang difardhukan.

Wahai jiwa yang terlalu gembira, sederhanakanlah rentak sukamu, takut-takut nanti ia mengundang bencana. Wahai jiwa yang terlalu sedih, angkatkanlah semangatmu, takut-takut kesedihanmu menjemput para syaitan bermukim, bagi manakluki hatimu.



Arifi Putra,
Bayt Arqam,
Mutah, Jordan