Saturday, April 18, 2020

Puasa Ramadhan : 8 Soal Jawab Tentang Puasa

1. Apakah maksud PUASA RAMADHAN?



PUASA RAMADHAN secara istilah syarak ialah menahan diri daripada melakukan perbuatan yang membatalkan puasa daripada terbit matahari sehinggalah terbenam fajar pada hari-hari Ramadhan. 


2. Apakah RUKUN PUASA 



RUKUN PUASA
  1. Menahan syahwat batin dan faraj.
  2. Menahan daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa.
  3. Niat berpuasa di malam hari ( di sisi Syafie dan Maliki).


3 Berapa lamakan TEMPOH BERPUASA?



TEMPOH BERPUASA
  1. Bagi tempat yang terbit matahari. Bermula daripada terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.
  2. Bagi tempat yang tidak terbit matahari. Mengikut waktu tempat yang terbit matahari paling dekat dengannya.


4. Apakah SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA?



SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA
  1. Islam (syarat wajib di sisi Hanafi, dan syarat sah di sisi Jumhur)
  2. Baligh.
  3. Aqil.
  4. Mempunyai kekuatan untuk melaksanakannya / tidak uzur sama ada uzur syar`i ataupun sakit.
  5. Iqamah ( syarat ini syarat tambahan di sisi Hanafiah).


5. Apakah SYARAT-SYARAT SAH PUASA?



SYARAT-SYARAT SAH PUASA (di sisi Syafie, dan ia sedikit berbeza di sisi mazhab-mazhab yang lain)
  1. Islam pada ketika tempoh berpuasa.
  2. Aqil dan Mumayyiz pada ketika tempoh berpuasa.
  3. Tidak didatangi Haidh dan Nifas pada ketika tempoh berpuasa.
  4. Berpuasa pada hari yang tidak diharamkan berpuasa.

6. Apakah PERKARA-PERKARA SUNAT BERKAITAN PUASA?



PERKARA SUNAT BERKAITAN PUASA
  1. Sahur meskipun hanya meneguk air.
  2. Mempercepatkan berbuka setelah yakin masuk waktu berbuka.
  3. Berdoa ketika berbuka dengan doa yang ma`thur.
  4. Memberi makan mereka yang berbuka puasa.
  5. Mandi Hadas Besar / Janabah bagi sesiapa yang wajib melaksanakannya sebelum terbit fajar.
  6. Menjaga lisan dan perbuatan.
  7. Meninggalkan syahwat yang tidak membatalkan puasa seperti muqaddimah jima` dan berciuman.
  8. Berkasih-sayang dan bersedekah kepada fakir dan miskin.
  9. Meninggalkan berbekam di siang hari ( di sisi Syafie).
  10. Memperbanyakkan membaca Al-Quran dan menuntut ilmu.


7. Apakah PERKARA MAKRUH BERKAITAN PUASA?



PERKARA MAKRUH BERKAITAN PUASA
  1. Tidak berbuka langsung antara dua puasa.
  2. Muqaddimah jima`(persetubuhan) seperti ciuman, sama ada hanya berfikir mengenainya, atau memandangnya atau melakukannya.
  3. Berlebih-lebihan dalam perkara yang berpotensi membatalkan puasa seperti mandi dan berkumur kerana dikhuatiri masuk ke dalam rongga.
  4. Merasa makanan kerana dikhuatiri masuk ke dalam rongga.


8. Apakah PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA?



PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
  1. Jimak / persetubuhan yang mewajibkan mandi hadas.
  2. Keluarnya air mani ataupun air mazi dengan sebab ciuman, aksi, pandangan, atau pemikiran yang membawa kepadanya (dengan sengaja).
  3. Muntah dengan sengaja, sama ada memenuhi mulut ataupun tidak (terkeluar atau ditelan) dan .
  4. Masuknya air/ cecair, makanan, atau apa sahaja yang bermaksud memberi kenyang / menghilangkan dahaga, ataupun sesuatu yang lain melepasi tekak sama ada melalui mulut, hidung ataupun telinga, sama ada secara sengaja atau tidak atau tersalah ( tetapi terdapat khilaf mengenai penggunaan Inhaler bagi pesakit lelah, Inshaa Allah akan cuba dilampirkan kemudian ).
  5. Masuknya sesuatu ke dalam perut sama ada melalui apa-apa sahaja rongga termasuklah liang roma sama ada secara sengaja, atau tidak atau tersalah.

Wednesday, April 15, 2020

Iman Fitrah Manusia : 5 Perkara Tentang Iman Yang Perlu Anda Tahu

Nota ini ialah ringkasan tajuk Iman Fitrah Manusia, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Tingkatan Empat.

 

1. Apakah maksud iman ?


Dari segi bahasa, iman ialah kepercayaan, mengakui dan membenarkan sesuatu tanpa mendustakannya.

Dari segi istilah, iman ialah membenarkan dengan hati, berikrar dengan lidah dan mengamalkan ajaran Allah yang dibawa oleh Rasulullah saw.


2. Apakah tahap / tingkatan keimanan seseorang?


TAHAP PERTAMA - Iman para nabi dan rasul


- mereka golongan yang kasih dan taat kepada Allah
- mereka ditugaskan menyampaikan khabar gembira (syurga) dan khabar menakutkan (neraka)


TAHAP KEDUA - Iman Ulama'


- keimanan dan makrifat yang kuat bersandarkan nazhor (pemerhatian terhadap kejadian alam) dan istidlal (dalil naqli dan aqli) tentang Allah, Tuhan yang menciptakan alam.
- mereka mengakui keagungan Allah


TAHAP KETIGA - Iman orang yang menjalankan syariat


- keimanan mereka tinggi berdasarkan hujah dan dalil daripada Al-Quran & Al-Sunnah
- mereka terdiri daripada golongan yang berilmu dan melaksanakan perintah Allah

TAHAP KEEMPAT - Iman orang yang bertaqlid


- keimanan mereka berdasarkan perkhabaran yang masyhur atau mengikut mengikut pandangan orang ramai tentang kewujudan Allah, tanpa mengetahui dalilnya.
- mereka terdiri daripada orang awam


3. Apakah perkara yang boleh membatalkan iman?


PERKATAAN, sebagai contoh :


- berkata Allah tidak adil kepada hamba
- berkata Rasulullah saw adalah insan biasa yang melakukan dosa

PERBUATAN / AMALAN, sebagai contoh :


- meminta pertolongan syaitan / makhluk halus untuk mencapai sesuatu hajat
- memuja kubur

I`TIQAD / HATI, sebagai contoh :


- mengakui dalam hati ada agama yang lebih baik daripada Islam
- mengakui dalam hati bahawa ajaran Islam sudah tidak sesuai untuk diamalkan


4. Apakah kepentingan iman kepada manusia?


- mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat
- memperolehi hidayah daripada Allah
- lahirnya rasa syukur, sabar dan redha atas nikmat dan musibah
- menyukai perkara yang baik dan membenci perkara yang mungkar


5. Apakah usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan keimanan?


Sebagai INDIVIDU,


- menambah pengetahuan agama
- menambah amalan soleh
- menjauhi maksiat

Sebagai MASYARAKAT,


- menambah program pengajian agama yang berkesan
- membentuk suasana soleh dengan penubuhan pasukan amar makruf nahi mungkar
- mengajak dengan hikmah jiran tetangga melakukan amalan yang menambah keimanan  


Sebagai NEGARA,


- mempelbagaikan program pengajian agama bersama golongan ulama`
- melaksanakan tindakan undang-undang terhadap pengamal ajaran sesat
- mewujudkan pusat pemantapan dan pemulihan aqidah.



UJIAN KEFAHAMAN


1. Mengapakah iman penting dalam kehidupan manusia?

2. Bagaimanakah cara menambahkan keimanan terhadap Allah di sekolah?

3. Mengapakah hidayah amat penting dalam kehidupan manusia?

4. Apakah perkara yang boleh membatalkan iman daripada sudut perbuatan?

Tuesday, April 14, 2020

10 SOAL JAWAB HUKUM MENUTUP AURAT (PENDIDIKAN AL-QURAN & AL-SUNNAH TINGKATAN LIMA)

Berdasarkan surah An-Nur ayat 30-31, berikut merupakan 10 soal jawab tentang hukum menutup aurat :




1. Apakah sebab nuzul ayat 30-31, Surah An-Nur?


Kisah Asma` Binti Abu Bakar menemui Rasulullah saw dengan memakai pakaian yang nipis, lantas Rasulullah saw bersabda : Wahai Asma`, sesungguhnya perempuan yang telah didatangi haidh (telah aqil baligh), tidak boleh dilihat kecuali ini sahaja. (Rasulullah saw menunjukkan muka dan tangan)


2. Apakah intisari ayat 30-31, Surah An-Nur?


  • Allah mewajibkan umat Islam sentiasa menutup aurat bagi menjamin kehormatan diri.
  • Allah menyuruh umat Islam mengawal pandangan supaya terjaganya keimanan


3. Apakah pengertian aurat?

  • Bahasa : Sesuatu yang aib
  •  Istilah : Bahagian tubuh yang wajib ditutup daripada pandangan ajnabi


4. Apakah hukum menutup aurat?


Hukum menutup aurat adalah wajib



5. Apakah batasan aurat lelaki dan perempuan?


Aurat LELAKI dengan PEREMPUAN MAHRAM (di antara pusat hingga lutut)
Aurat LELAKI dengan PEREMPUAN BUKAN MAHRAM (di antara pusat hingga lutut)
Aurat LELAKI dengan PEREMPUAN BUKAN ISLAM (di antara pusat hingga lutut)

Aurat PEREMPUAN dengan LELAKI MAHRAM (di antara pusat hingga lutut)
Aurat PEREMPUAN dengan LELAKI BUKAN MAHRAM (seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan)
Aurat PEREMPUAN dengan LELAKI BUKAN ISLAM (seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan)

* Mahram ialah sesiapa yang diri kita dilarang bernikah dengannya kerana hubungan rahim dan kerabat (pertalian keluarga terdekat) seperti adik-beradik seibu sebapa dan lain-lain.



6. Apakah sebab diwajibkan menutup aurat?


  • Memelihara maruah diri
  • Mengelak terjadinya maksiat
  • Membezakan keperibadian umat Islam
  • Mempamerkan ketaatan kepada perintah Allah


7. Apakah garis panduan pergaulan antara lelaki dan perempuan?


  • Hanya dibenarkan dalam perkara yang diharuskan syara` seperti pembelajaran dan pengubatan
  • Islam tidak membenarkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batasan
  • Haram bagi lelaki melihat aurat perempuan, begitu juga haram perempuan melihat aurat lelaki


8. Apakah hikmah kewajipan menutup aurat?


  • Memuliakan manusia sebagai makhluk pilihan
  • Membentuk manusia menjadi insan beradab tinggi
  • Mengelak daripada berlakunya fitnah
  • Melahirkan golongan masyarakat yang memiliki akhlak terpuji


9. Apakah ciri pakaian dan perhiasan yang diharuskan syara`?


  • Menutupi aurat
  • Tidak nipis
  • Longgar
  • Tidak menyerupai manusia berlawanan jantina
  • Tidak menyerupai mana-mana pakaian keagamaan agama lain
  • Lelaki tidak dibenarkan memakai sutera dan emas


10. Apakah pengajaran ayat 30-31 surah An-Nur?


  • Umat Islam hendaklah menutup aurat kerana ia merupakan perintah Allah
  • Umat Islam hendaklah membataskan pergaulan agar tidak terjerumus ke dalam maksiat 



UJIAN KEFAHAMAN


1. Mengapakah Allah menyuruh umat Islam menundukkan pandangan?

2. Apakah akibat mendedahkan aurat?

3. Apakah maksud ajnabi?

4. Apakah maksud mahram?

Saturday, October 26, 2019

5 Tips Bagaimana Menghadapi Peperiksaan

Musim peperiksaan tiba lagi.

Bagi pelajar tingkatan lima yang meghadapi SPM tahun ini, kurang dua minggu lagi peperiksaan SPM fasa kedua bakal bermula.

Bagi mahasiswa di peringkat menara gading, minggu peperiksaan merupakan minggu yang paling menyeksakan. 

Fakta yang tidak dapat disangkal, peperiksaan adalah perkara wajib perlu dihadapi bila anda bergelar seorang pelajar. 

Malah, ada pepatah arab yang berbunyi

الْإمْتِحَان يُكْرِمُ الْمَرْءَ أَوْ يُهَانُ

Peperiksaan menentukan sama ada anda dimuliakan atau dihinakan.

Pahitkan realiti ini? Padahal, peperiksaan tidak boleh dijadikan satu-satunya pengukur kepada kemuliaan atau kehinaan seseorang. 

Cuma mungkin keputusan peperiksaan yang baik boleh memudahkan sedikit urusan anda di masa hadapan.

Pada saya, pedulikan dahulu keputusan peperiksaan yang bakal anda dapat. Apa yang penting, sudahkah anda bersedia menghadapinya?

Jadi, saya ingin berkongsi kepada para pembaca, 5 tips bagaimana mahu menghadapi peperiksaan.

Bacalah :

Pertama,

HABISKAN ULANGKAJI


Ulangkaji yang bijak bukanlah terletak pada kuantiti masa, tetapi lebih kepada kualiti pelaksanaannya. 

Jika anda seorang yang gemar melakukan sesuatu secara beramai-ramai, maka cara ulangkaji berkumpulan amat sesuai untuk anda.

Ada banyak faedah mengulangkaji secara berkumpulan, antaranya ialah menjimatkan masa. 

Bayangkan, anda terpaksa mengulangkaji kesemua 12 topik bagi sesuatu mata pelajaran, bukankah lebih mudah anda mengumpulkan 12 orang rakan, kemudian setiap topik diamanahkan kepada seorang. 

Tetapkan masa yang sesuai, bentangkan hasil ulangkaji untuk dikongsi bersama.

Lebih bagus, setiap orang membuat nota ringkas bagi topik yang telah diamanahkan kepadanya, kemudian berkongsi dengan rakan-rakan lain semasa pembentangan. 

Masa pun jimat, nota pun dapat, kejayaan pun dapat dikongsi bersama.

Namun, jika anda merupakan seorang loneranger, suka bersendirian, maka anda perlu menggunakan teknik ulangkaji pantas. 

Caranya, 
 
Cuba anda fahami teori atau idea asas pada setiap topik, kemudian cambahkan apa yang anda tahu mengenai topik tersebut dalam bentuk peta minda. 

Bila otak bekerja secara smart, maka ulangkaji anda menjadi berkesan!

Lebih baik, semuanya dilakukan dengan istiqamah sejak permulaan tahun belajar. 

Selain tidak memenatkan, anda juga dapat mengawal tekanan saat akhir sebelum peperiksaan. Saya telah berkongsi tentang panduan menjadi pelajar cemerlang di sini.

Kedua :

DAPATKAN ALAT TULIS SECUKUPNYA


Setelah masuk ke dewan peperiksaan, anda terlupa bahawa anda tidak membawa pen, ataupun semasa menjawab soalan, pen anda kehabisan dakwat. 

Pernahkah anda menghadapi situasi ini?

Sebagaimana yang kita tahu, askar di medan perang amat perlu kepada senjata. Jika senjata tidak mencukupi, kemungkinan untuk terbunuh di medan perang adalah tinggi. 

Begitulah juga dalam kehidupan pelajar. Alat tulis merupakan senjata penting terutama ketika peperiksaan. 

Jika anda tidak membawanya, kemungkinan untuk anda gugur di medan peperiksaan adalah tinggi.

Oleh itu, anda perlu menyiapkan alat tulis dan keperluan peperiksaan dengan teliti. 

Dapatkan senarai keperluan peperiksaan serta alat-alat tulis yang dikehendaki. Ikutlah spesifikasi yang dibenarkan, dan lebih penting, bawa peralatan tambahan.

Sebagai contoh, jangan hanya merasa cukup untuk membawa satu pen sahaja ke dewan peperiksaan. Kalaulah habis dakwatnya, bukankah akan menyusahkan anda?

Kata orang, biar lebih, asalkan jangan tidak cukup!

Paling penting, periksa semula peralatan anda sebelum bergerak ke dewan peperiksaan. Pastikan ianya mencukupi. Ingat, alat tulis adalah senjata bagi pelajar.

Ketiga :

KUATKAN EMOSI


Kadangkala, perasaan gemuruh, terlalu takut ataupun berdebar-debar yang keterlaluan, akan merencatkan jawapan anda dalam peperiksaan.

Biasa tak terjadi pada anda, situasi blur semasa menjawab peperiksaan? 

Dapat sahaja kertas, soalan yang telah anda ulangkaji dan faham cara jawabnya pun, anda blur dan tidak ingat. 

Hal ini terjadi kerana emosi telah menguasai pemikiran anda. Habis anda terlupa apa yang telah diulangkaji, masa pun rugi kerana anda mengambil waktu yang lama untuk recall, mengingatnya kembali.

Kekuatan emosi diperolehi dengan cara menguatkan diri dan semangat dalaman anda. 

Ia idak mudah, tetapi beberapa petua ini mungkin dapat membantu.

Antara petua mengelak gangguan emosi sebegini ialah memperbanyakkan selawat bagi orang Islam. 

Cuba pejamkan mata, kosongkan minda, dan fokus kepada soalan. 

Selain itu, jangan sesekali meninggalkan sarapan pagi jika peperiksaan berlangsung pada waktu pagi. Perut yang tidak diisi akan menambahkan kekacauan emosi akibat tindak balas dalaman yang alami.

Anda juga dapat mengawal emosi sekiranya melakukan tips yang keempat yang akan saya tuliskan sebentar nanti.

Keempat :

DAPATKAN REHAT SECUKUPNYA


Bayangkan jika esok anda ada peperiksaan, tapi terpaksa tidur lambat untuk mengulangkaji.

Akibatnya, anda bangun pagi dengan rasa penat, fikiran blur dan langkah longlai ke dewan peperiksaan. 

Lebih parah, alat tulis pun lupa untuk diperiksa sebelum ke dewan peperiksaan.

Serba-serbinya tak menjadi bagi anda pada hari tersebut. Soalan yang mudah pun anda mungkin tidak dapat menjawab dengan baik. 

Keadaan ini disebabkan rehat yang tidak mencukupi.

Sebaiknya, cuba tidur awal pada malam peperiksaan. Limitkan masa ulangkaji pada malam tersebut, paling lewat mungkin 12 tengah malam. Kemudian, berehatlah, tidurlah.

Paling baik, anda bangun awal. 

Pelbagai kajian telah membuktikan kelebihan bangun awal berbanding buruknya tidur lewat. 

Salah satunya, badan anda akan berasa lebih cergas dan jiwa akan lebih bersemangat.

Cubalah, saya tidak jamin anda berjaya, tetapi saya jamin setidak-tidaknya kehidupan anda menjadi lebih berkualiti dengan melazimi rehat yang cukup serta bangun pagi lebih awal.

Kelima :

BAWA BEKALAN AIR


Ya, bawa bekal air. Kedengaran kelakar dan childish.

Tetapi, tahukah anda air amat penting di medan perang?

Malah, jika kita dapat menguasai bekalan air di medan perang, musuh seakan-akan telah dapat ditewaskan.

Anda bukan pergi berperang pun, tetapi bukankah peperiksaan adalah medan peperangan bagi pelajar?

Jadi, jangan malu untuk membawa bekalan air. 

Selain membekalkan oksigen ke otak, air juga dapat menghilangkan kegelisahan dan meredakan ketakutan anda menghadapi peperiksaan.

Minumlah seteguk dua air ketika blur, inshaa Allah, emosi anda akan pulih. 

Air juga dapat menyegarkan minda anda, malah kalau anda mengantuk semasa menjawab peperiksaan, minumlah air untuk kembali cergas seperti sediakala.

Terlalu banyak khasiat meminum air kosong yang dikongsi oleh pakar. Harganya pun murah, malah selalunya mudah didapati dengan percuma. Cuma minum sahaja.

AKHIR KALAM,

Kata pujangga,

Bekerjalah untuk menggapai dunia seakan-akan kamu akan hidup selama-lamanya,
Beramallah untuk akhirat seakan-akan kamu akan mati esok.

Peperiksaan merupakan cebisan kecil jambatan yang menghubungkan anda dengan kejayaan dunia. 

Malah peperiksaan adalah lambang kerja keras anda untuk beramal dengan ilmu sebagai saham amal akhirat.

Jadi, hadapilah ia dengan persediaan yang rapi.

Tips di atas mungkin tidak mencukupi, tetapi, daripada langsung tidak bersedia, tidak salah saya rasa bagi anda untuk mencubanya.

Selamat menghadapi peperiksaan !



 

5 PANDUAN UNTUK MENJADI PELAJAR CEMERLANG

Siapa tak mahu berjaya dalam pelajaran? Pastinya ramai yang mahu berjaya. Kos belajar pun bukannya sikit. Ada keluarga yang terpaksa bergolak-gadai, semata-mata untuk merealisasikan impian melihat ahli keluarga berjaya dalam pelajaran, alih-alih terhenti sekerat jalan sebab gagal. Pasti kecewa bukan?

Sebagai guru, dan semestinya bekas pelajar, ada beberapa perkara yang saya nampak dilakukan oleh sebahagian rakan-rakan dan anak didik saya yang cemerlang dalam pelajaran. Saya akan berkongsi dengan anda cara yang praktik untuk berjaya dalam pelajaran seperti mereka.

Dengarkan.

Pertama :

RESET NIAT

"Kalau niat baik, baiklah yang dapat, kalau niat buruk, padahlah yang mendapat."


Anda pernah dengar nasihat ini?

Jika kita belajar hanya kerana rasa dipaksa oleh keluarga, maka kita akan kurang bersemangat untuk belajar. Sesiapa yang melakukan sesuatu kerana terpaksa, kualiti pelaksanaanya akan berada di paras rendah kerana badan dan hati saling tidak bersama. Langkahan ke kelas terasa berat, ulangkaji pelajaran terasa bebanan, tak termasuk lagi masalah homesick lagi. Kesian kan pada diri kita kalau macam tu jadinya?

Jadi, perbetulkanlah niat. Paling penting, kalau anda merupakan seorang muslim, maka ingatlah bahawa Allah memuliakan orang yang berilmu. Bila Allah memuliakan kita, inshaa Allah, keredhaan Allah akan kita gapai. Bila Allah redha, segala bebanan perlahan-lahan akan hilang, digantikan dengan kelapangan dan keringanan. Soalnya, bagaimana mahu menjadi orang berilmu? Caranya hanyalah dengan belajar.

Tambahan, niatkan belajar untuk bantu keluarga dan diri sendiri. Siapa tahu, berkat anda belajar, dapatlah menjadi manusia berguna, mencari rezeki mahupun membuka peluang pekerjaan sendiri. Pokok pangkalnya hati kena ikhlas dalam belajar.

Kedua :

PILIH RAKAN BELAJAR


Pernah tak anda dengar, rakan ini ada pelbagai peringkat? 

Ada rakan yang kalau datang ke rumah kita, kita hanya melayannya di luar rumah sahaja, ada rakan yang kita melayannya di ruang tamu, tapi ada sebahagian kecil rakan yang kita boleh benarkan dia masuk sehingga ke dapur dan makan bersama keluarga kita.


Supaya mudah difahami, saya ceritakan semula. Begini, ada rakan yang hanya kita kenal namanya sahaja dan dia pun begitu. Ada rakan yang kita boleh berbual tetapi tidak sebulu, dan ada rakan yang ibarat seperti ahli keluarga kita, sentiasa membantu kita masa susah senang dan bersedia menegur kita jika kita tersilap langkah.

Rakan yang terakhir ini sangat penting untuk anda miliki jika anda merupakan seorang pelajar, apatah lagi jika anda terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika belajar. 

Bayangkan, anda jauh dengan keluarga semasa belajar, ada satu hari anda demam sampai tidak larat untuk bangun. Bagaimana anda mahu makan? Bagaimana mahu ke klinik untuk rawatan? Siapa yang hendak anda harapkan? Bolehkah anda lakukan semuanya sendirian?

Jika anda tiada rakan seperti kriteria yang ketiga tadi, maka ini gila! Ya, mustahil untuk anda lakukan semuanya secara sendirian.

Jadi, bolehlah kita katakan pemilihan rakan belajar yang tepat, memainkan peranan penting dalam kehidupan pelajar. Oh ya, pastikan rakan rapat anda merupakan kaki belajar, untung-untung anda dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan mendapat teman sejati dalam pengembaraan menuntut ilmu anda.

Ketiga :

PILIH BIDANG YANG BETUL


Supaya adil dengan diri, anda hendaklah memilih bidang pembelajaran yang betul, terutama jika mahu melanjutkan pembelajaran di peringkat menara gading. Apakah maksud adil? Adakah dengan memilih sesuatu bidang kerana minat menjadi tanda anda adil dengan diri sendiri?

Bayangkan, 

Anda minat bertani, memiliki pengalaman dan pengetahuan asas tentang pertanian, namun kerana terpaksa, anda memilih bidang membaik pulih kenderaan. Betapa ruginya minat pertanian anda jika tidak dikembangkan dengan peluang menyambung pelajaran dalam bidang tersebut.

Atas sebab itulah, anda perlu mengetahui apakah minat anda, dan apakah bidang ilmu yang anda yakin dapat mendalaminya. Kata orang, masa yang paling baik untuk belajar adalah pada masa muda. Jika ketika muda anda tidak mendalami ilmu yang anda minat, kemungkinan besar pengetahuan anda terhadap perkara tersebut, hanya terhenti setakat itu sahaja.

Kesannya, seumur hidup anda berdepan dengan perkara yang anda tidak berapa suka. Ini kerana, biasanya bidang yang dipelajari di universiti, akan diteruskan di alam pekerjaan. Anda pernah dengar, 

"Do what you love, and you`ll never work a day in your life!".


Keempat :

SUSUN WAKTU BELAJAR


Saya setuju, hal ini yang paling sukar. Menyusun waktu dan mendisiplinkan diri untuk mematuhinya, adalah antara perkara yang paling berat untuk dilakukan.

Jadi, susunlah waktu mengikut kemampuan anda! Mengapa perlu menyusun waktu dengan begitu ketat dan nampak seperti mustahil untuk dipatuhi?

Ada yang menyusun waktu belajar, sampai tidak menetapkan masa untuk berehat dan berhibur, walhal badan mempunyai hak-haknya yang perlu ditunaikan. 

Cuba hayati bait kata-kata ini :

Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan,

Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber kejayaan,

Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik bagi jiwa.


Pokok pangkalnya, istiqamah ! Jika anda telah menetapkan bahawa masa ulangkaji dalam sehari adalah sejam, maka istiqamahlah setiap hari. Tahukah anda, ulangkaji sejam sehari, tiga bulan sebelum peperiksaan, adalah lebih baik daripada ulangkaji berjam-jam, sehari sebelum peperiksaan. Bila orang lain gelabah ulangkaji di saat akhir, anda hanya tenang kerana semua yang mereka baru nak baca, anda telah berkali-kali khatamkannya. 

Ingat, pokok pangkalnya, istiqamah, walaupun sedikit.

Kelima :

DOA


Apa guna menjadi hamba Allah, jika tidak meminta kepada-Nya. Allah adalah Al-Mujib, ertinya yang mengkabulkan doa. Berdoalah, selepas anda lelah berusaha. Berdoalah, bila anda telah mencuba sehabis daya.


Doa yang tulus, bukan sahaja mendapat pahala yang banyak, bahkan memberikan anda ketenangan dan kekuatan dalaman. Berdoalah supaya Allah memudahkan urusan belajar anda, berdoalah supaya Allah memberikan kejayaan kepada anda.

Akhir kalam,

Apa yang dapat saya simpulkan, kejayaan atau kegagalan dalam belajar, sedikit sebanyak ditentukan oleh usaha anda. Ingat, orang yang berjaya, sentiasa mencari jalan, tapi orang yang gagal, sentiasa memberi alasan. Berjaya atau gagal, andalah yang menentukan!

Sunday, December 30, 2018

Sederhana Memberi Bahagia

Apakah yang dimaksudkan dengan sederhana? Sederhana itu tidak lebih dan tidak kurang. Sederhana itu adalah bersikap pertengahan, sedang serta tidak condong kepada tinggi mahupun rendah.

Jika kita analogikan sederhana dengan fizikal manusia, maka kita dapatlah menyebut bahawa dalam mata pandang masyarakat kita, seseorang yang dikatakan memiliki fizikal yang sederhana itu ialah mereka yang bersosok tidak terlalu tinggi, tidak terlalu rendah, tidak terlalu gemuk, tidak terlalu kurus, tidak terlalu gelap dan tidak terlalu cerah, tidak terlalu kacak, dan tidak terlalu hodoh. Maka, kita dapat rumuskan mereka yang sebegini dengan takrifan sedap mata memandang, tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergaul dalam masyarakat kerana fizikal yang sederhana.

Begitulah juga jika kita membawa pendekatan yang sederhana dalam meneladeni kehidupan ini. Ada manusia yang marahnya lekas, ada manusia yang pemaafnya terlampau, ada manusia yang dengkinya tersangat, ada manusia yang pasrahnya mudah, ada manusia yang cakapnya tinggi, ada manusia yang sampai menghinakan diri, ada manusia yang kedekutnya tebal, ada manusia yang pemurahnya tak bertempat, ada manusia yang risaunya terlampau, ada manusia yang yakinnya terlalu, ada manusia yang ramahnya mengganggu, ada manusia yang diam pada bukan tempatnya.

Adakah sikap-sikap sebegitu adalah bagus untuk kita mencapai maksud ketenangan dalam hidup? Percayalah, jika kehidupan diteruskan dalam keadaan manusia condong untuk bersikap lebih-lebih dalam sesuatu perkara, maka ketenangan yang dimahukan dalam kehidupan tak akan kunjung tiba. Meskipun lebih-lebih itu dalam hal yang nampak seperti tidak akan mengganggu sesiapa, seperti bersikap berlebihan menghina diri, pemurah yang bukan pada tempatnya, pemaaf yang sampai dipijak kepala. Bayangkan, betapa sengsaranya batin manusia yang bersikap begitu, disimpan dan dipendam, akhirnya meletus tak tentu bila ibarat sebuah bom yang tidak terjangka.

Justeru, dengan mengamalkan sikap sederhana dalam kehidupan, warna-warna indah dalamnya akan kelihatan. Sederhana itu memberi ketenteraman dalaman kepada pengamalnya. Hidup tidak berada dalam tekanan, malah mungkin dengan mengamalkan sikap serba sederhana, kita boleh memulihkan hubungan dengan manusia, malah terlebih utama, kita boleh memulihkan hubungan dengan Allah selaku hamba kepadaNya.

Hanya satu perkara sahaja yang kita tidak boleh besederhana. Perkara tersebut adalah perlumbaan mengejar akhirat. Misalnya, kerana besederhana dengan waktu, maka kita lengahkan solat dengan sengaja, kerana besederhana dengan duit, kita liat membayar zakat dan menyimpan duit untuk menunaikan haji. Selayaknya urusan akhirat, kita perlu bersikap condong dan tamak. Condong untuk melakukan kebaikan sepertimana yang dituntut dalam agama.

Ingatlah, sederhana terhadap dunia akan memberi ketenangan jiwa, tamak terhadap akhirat akan memberi ketaatan jiwa. Apalah guna berjiwa, jika tidak taat kepada Allah Yang Maha Esa!

Saturday, December 8, 2018

Perbetulkan Niat


Niat laksana isi dalam buah. Lihat durian, fizikal luarnya nampak gagah, sukar ditembus. Kita memerlukan alatan tajam untuk membuka kulit durian, sebelum merasai lazat isinya. Kadangkala, penat kita membelah isi, sehingga luka jari, sakit lengan dan otot, tetapi isi yang kita dapat keras, tawar ataupun mentah. Akan tetapi, adakalanya kita bertemu dengan durian yang telah dirobek sang tupai, kita geli hendak memakan, tidak mahu membelah dan adakalanya kita biarkan sahaja durian itu membusuk. Tetapi, bagi penggemar durian, mereka akan membelah durian yang telah dirobek, kerana meskipun buruk rupanya, namun isi durian yang telah dirobek, jarang-jarang mengecewakan, kerana bukankah tupai itu penilai durian yang baik?
                Begitulah niat, kadangkala terzahir di fizikal perbuatan yang nampak mukhlis, berniat baik. Namun di hatinya hanya Allah yang tahu apa niat yang tersembunyi. Contoh, seorang taulan yang kita tahu tidak menyukai kita, tiba-tiba menghulur bantuan penuh kasih, tetapi kita curigai ketulusannya melakukan hal tersebut. Tetapi, adakalanya kita melihat perilaku yang zalim, tetapi kerana ketulusan hati, Allah menilainya sebagai golongan yang memperolehi martabat mukhlisin. Seperti kelihatan zalim sang ayah yang merotan anak akibat tidak solat setelah menjengah umur 9 tahun, namun niat sang ayah merotan semata-mata mahu mendidik anaknya menjadi hamba yang bertakwa, tunduk pada Allah dengan melaksanakan solat yang diperintahkanNya.
                Susah mahu menilai keikhlasan. Insan tidak mungkin mampu untuk menilai keikhlasan insan lain. Hal ini adalah kerana insan tidak mempunyai kelebihan membaca hati insan yang lain. Pencarian makhluk bernama ikhlas dalam diri insan yang lain umpama mencari semut hitam, yang berada pada waktu malam di atas batu yang gelap. Mustahil untuk mengetahuinya. Jika kita mencari teman dan rakan, ataupun pendamping hidup, dengan meletakkan syarat ikhlas sebagai kriteria utama, maka ketahuilah, kita hanya mencari benda yang tiada. Kerana hukum alam menetapkan, sesuatu yang tidak nampak itu, seakan-akan tiada.
                Lihatlah ajaran agama, kita tidak disuruh menghukum. Jangan kata orang lain tidak ikhlas, jangan tuduh orang lain sebagai teruk atau jahat. Kerana pelbagai peristiwa yang berlaku atas muka bumi ini, tidak dapat diadili daripada satu sudut pandang atau dimensi semata-mata. Ada insan kita nampak perbuatannya jahat di sisi pandang kita, tapi di sisi pandang lain mungkin ada insan mengaggap perbuatannya sebagai wira. Begitu juga bila membicarakan tentang hati yang ikhlas. Agama tidak menyuruh kita sibuk mencari keikhlasan dalam hati insan lain, bahkan agama mendidik kita agar menjaga keikhlasan hati masing-masing. Jangan hirau tentang keadaan hati orang lain, sebaliknya kita yang bertanggungjawab tentang keikhlasan hati kita ketika melakukan sesuatu hal atau perkara.
                Didiklah hati untuk ikhlas. Ikhlas tidak dapat dengan hanya berteori semata-mata. Mungkin penutur yang mengajar tentang bab ikhlas, mahupun penulis yang menulis tentang kepentingan ikhlas, bahkan mungkin si penasihat yang menasihati agar ikhlaslah dalam perbuatan, boleh jadi sahaja tidak ikhlas. Ikhlas adalah ketulenan, kejernihan dan kepatuhan kepada syara` saaat melakukan sesuatu hal atau perkara. Ada insan, mendidik dirinya dengan ikhlas, dengan jalan melakukan pekerjaan kasar, seperti membersihkan tandas, mengutip sampah di jalanan, kerana kelihatan hina dan kotor di mata manusia, tetapi mungkin ikhlas tangan yang membersihkan tandas dan sampah di jalanan itu, lebih wangi perilakunya di sisi Allah berbanding sang kaya yang menghulurkan sumbangan puluhan juta, di hadapan lensa dan kamera, walhal pada ketika itu, riya` telah bersarang di dada, dengan angkuh dan sombongnya memberitahu pada dunia, lihatlah derma ikhlas saya bernilai jutaan ringgit dengan katanya : aku ada, kau ada?