Saturday, October 26, 2019

5 Tips Bagaimana Menghadapi Peperiksaan

Musim peperiksaan tiba lagi.

Bagi pelajar tingkatan lima yang meghadapi SPM tahun ini, kurang dua minggu lagi peperiksaan SPM fasa kedua bakal bermula.

Bagi mahasiswa di peringkat menara gading, minggu peperiksaan merupakan minggu yang paling menyeksakan. 

Fakta yang tidak dapat disangkal, peperiksaan adalah perkara wajib perlu dihadapi bila anda bergelar seorang pelajar. 

Malah, ada pepatah arab yang berbunyi

الْإمْتِحَان يُكْرِمُ الْمَرْءَ أَوْ يُهَانُ

Peperiksaan menentukan sama ada anda dimuliakan atau dihinakan.

Pahitkan realiti ini? Padahal, peperiksaan tidak boleh dijadikan satu-satunya pengukur kepada kemuliaan atau kehinaan seseorang. 

Cuma mungkin keputusan peperiksaan yang baik boleh memudahkan sedikit urusan anda di masa hadapan.

Pada saya, pedulikan dahulu keputusan peperiksaan yang bakal anda dapat. Apa yang penting, sudahkah anda bersedia menghadapinya?

Jadi, saya ingin berkongsi kepada para pembaca, 5 tips bagaimana mahu menghadapi peperiksaan.

Bacalah :

Pertama,

HABISKAN ULANGKAJI


Ulangkaji yang bijak bukanlah terletak pada kuantiti masa, tetapi lebih kepada kualiti pelaksanaannya. 

Jika anda seorang yang gemar melakukan sesuatu secara beramai-ramai, maka cara ulangkaji berkumpulan amat sesuai untuk anda.

Ada banyak faedah mengulangkaji secara berkumpulan, antaranya ialah menjimatkan masa. 

Bayangkan, anda terpaksa mengulangkaji kesemua 12 topik bagi sesuatu mata pelajaran, bukankah lebih mudah anda mengumpulkan 12 orang rakan, kemudian setiap topik diamanahkan kepada seorang. 

Tetapkan masa yang sesuai, bentangkan hasil ulangkaji untuk dikongsi bersama.

Lebih bagus, setiap orang membuat nota ringkas bagi topik yang telah diamanahkan kepadanya, kemudian berkongsi dengan rakan-rakan lain semasa pembentangan. 

Masa pun jimat, nota pun dapat, kejayaan pun dapat dikongsi bersama.

Namun, jika anda merupakan seorang loneranger, suka bersendirian, maka anda perlu menggunakan teknik ulangkaji pantas. 

Caranya, 
 
Cuba anda fahami teori atau idea asas pada setiap topik, kemudian cambahkan apa yang anda tahu mengenai topik tersebut dalam bentuk peta minda. 

Bila otak bekerja secara smart, maka ulangkaji anda menjadi berkesan!

Lebih baik, semuanya dilakukan dengan istiqamah sejak permulaan tahun belajar. 

Selain tidak memenatkan, anda juga dapat mengawal tekanan saat akhir sebelum peperiksaan. Saya telah berkongsi tentang panduan menjadi pelajar cemerlang di sini.

Kedua :

DAPATKAN ALAT TULIS SECUKUPNYA


Setelah masuk ke dewan peperiksaan, anda terlupa bahawa anda tidak membawa pen, ataupun semasa menjawab soalan, pen anda kehabisan dakwat. 

Pernahkah anda menghadapi situasi ini?

Sebagaimana yang kita tahu, askar di medan perang amat perlu kepada senjata. Jika senjata tidak mencukupi, kemungkinan untuk terbunuh di medan perang adalah tinggi. 

Begitulah juga dalam kehidupan pelajar. Alat tulis merupakan senjata penting terutama ketika peperiksaan. 

Jika anda tidak membawanya, kemungkinan untuk anda gugur di medan peperiksaan adalah tinggi.

Oleh itu, anda perlu menyiapkan alat tulis dan keperluan peperiksaan dengan teliti. 

Dapatkan senarai keperluan peperiksaan serta alat-alat tulis yang dikehendaki. Ikutlah spesifikasi yang dibenarkan, dan lebih penting, bawa peralatan tambahan.

Sebagai contoh, jangan hanya merasa cukup untuk membawa satu pen sahaja ke dewan peperiksaan. Kalaulah habis dakwatnya, bukankah akan menyusahkan anda?

Kata orang, biar lebih, asalkan jangan tidak cukup!

Paling penting, periksa semula peralatan anda sebelum bergerak ke dewan peperiksaan. Pastikan ianya mencukupi. Ingat, alat tulis adalah senjata bagi pelajar.

Ketiga :

KUATKAN EMOSI


Kadangkala, perasaan gemuruh, terlalu takut ataupun berdebar-debar yang keterlaluan, akan merencatkan jawapan anda dalam peperiksaan.

Biasa tak terjadi pada anda, situasi blur semasa menjawab peperiksaan? 

Dapat sahaja kertas, soalan yang telah anda ulangkaji dan faham cara jawabnya pun, anda blur dan tidak ingat. 

Hal ini terjadi kerana emosi telah menguasai pemikiran anda. Habis anda terlupa apa yang telah diulangkaji, masa pun rugi kerana anda mengambil waktu yang lama untuk recall, mengingatnya kembali.

Kekuatan emosi diperolehi dengan cara menguatkan diri dan semangat dalaman anda. 

Ia idak mudah, tetapi beberapa petua ini mungkin dapat membantu.

Antara petua mengelak gangguan emosi sebegini ialah memperbanyakkan selawat bagi orang Islam. 

Cuba pejamkan mata, kosongkan minda, dan fokus kepada soalan. 

Selain itu, jangan sesekali meninggalkan sarapan pagi jika peperiksaan berlangsung pada waktu pagi. Perut yang tidak diisi akan menambahkan kekacauan emosi akibat tindak balas dalaman yang alami.

Anda juga dapat mengawal emosi sekiranya melakukan tips yang keempat yang akan saya tuliskan sebentar nanti.

Keempat :

DAPATKAN REHAT SECUKUPNYA


Bayangkan jika esok anda ada peperiksaan, tapi terpaksa tidur lambat untuk mengulangkaji.

Akibatnya, anda bangun pagi dengan rasa penat, fikiran blur dan langkah longlai ke dewan peperiksaan. 

Lebih parah, alat tulis pun lupa untuk diperiksa sebelum ke dewan peperiksaan.

Serba-serbinya tak menjadi bagi anda pada hari tersebut. Soalan yang mudah pun anda mungkin tidak dapat menjawab dengan baik. 

Keadaan ini disebabkan rehat yang tidak mencukupi.

Sebaiknya, cuba tidur awal pada malam peperiksaan. Limitkan masa ulangkaji pada malam tersebut, paling lewat mungkin 12 tengah malam. Kemudian, berehatlah, tidurlah.

Paling baik, anda bangun awal. 

Pelbagai kajian telah membuktikan kelebihan bangun awal berbanding buruknya tidur lewat. 

Salah satunya, badan anda akan berasa lebih cergas dan jiwa akan lebih bersemangat.

Cubalah, saya tidak jamin anda berjaya, tetapi saya jamin setidak-tidaknya kehidupan anda menjadi lebih berkualiti dengan melazimi rehat yang cukup serta bangun pagi lebih awal.

Kelima :

BAWA BEKALAN AIR


Ya, bawa bekal air. Kedengaran kelakar dan childish.

Tetapi, tahukah anda air amat penting di medan perang?

Malah, jika kita dapat menguasai bekalan air di medan perang, musuh seakan-akan telah dapat ditewaskan.

Anda bukan pergi berperang pun, tetapi bukankah peperiksaan adalah medan peperangan bagi pelajar?

Jadi, jangan malu untuk membawa bekalan air. 

Selain membekalkan oksigen ke otak, air juga dapat menghilangkan kegelisahan dan meredakan ketakutan anda menghadapi peperiksaan.

Minumlah seteguk dua air ketika blur, inshaa Allah, emosi anda akan pulih. 

Air juga dapat menyegarkan minda anda, malah kalau anda mengantuk semasa menjawab peperiksaan, minumlah air untuk kembali cergas seperti sediakala.

Terlalu banyak khasiat meminum air kosong yang dikongsi oleh pakar. Harganya pun murah, malah selalunya mudah didapati dengan percuma. Cuma minum sahaja.

AKHIR KALAM,

Kata pujangga,

Bekerjalah untuk menggapai dunia seakan-akan kamu akan hidup selama-lamanya,
Beramallah untuk akhirat seakan-akan kamu akan mati esok.

Peperiksaan merupakan cebisan kecil jambatan yang menghubungkan anda dengan kejayaan dunia. 

Malah peperiksaan adalah lambang kerja keras anda untuk beramal dengan ilmu sebagai saham amal akhirat.

Jadi, hadapilah ia dengan persediaan yang rapi.

Tips di atas mungkin tidak mencukupi, tetapi, daripada langsung tidak bersedia, tidak salah saya rasa bagi anda untuk mencubanya.

Selamat menghadapi peperiksaan !



 

No comments:

Post a Comment