Saturday, October 26, 2019

5 PANDUAN UNTUK MENJADI PELAJAR CEMERLANG

Siapa tak mahu berjaya dalam pelajaran? Pastinya ramai yang mahu berjaya. Kos belajar pun bukannya sikit. Ada keluarga yang terpaksa bergolak-gadai, semata-mata untuk merealisasikan impian melihat ahli keluarga berjaya dalam pelajaran, alih-alih terhenti sekerat jalan sebab gagal. Pasti kecewa bukan?

Sebagai guru, dan semestinya bekas pelajar, ada beberapa perkara yang saya nampak dilakukan oleh sebahagian rakan-rakan dan anak didik saya yang cemerlang dalam pelajaran. Saya akan berkongsi dengan anda cara yang praktik untuk berjaya dalam pelajaran seperti mereka.

Dengarkan.

Pertama :

RESET NIAT

"Kalau niat baik, baiklah yang dapat, kalau niat buruk, padahlah yang mendapat."


Anda pernah dengar nasihat ini?

Jika kita belajar hanya kerana rasa dipaksa oleh keluarga, maka kita akan kurang bersemangat untuk belajar. Sesiapa yang melakukan sesuatu kerana terpaksa, kualiti pelaksanaanya akan berada di paras rendah kerana badan dan hati saling tidak bersama. Langkahan ke kelas terasa berat, ulangkaji pelajaran terasa bebanan, tak termasuk lagi masalah homesick lagi. Kesian kan pada diri kita kalau macam tu jadinya?

Jadi, perbetulkanlah niat. Paling penting, kalau anda merupakan seorang muslim, maka ingatlah bahawa Allah memuliakan orang yang berilmu. Bila Allah memuliakan kita, inshaa Allah, keredhaan Allah akan kita gapai. Bila Allah redha, segala bebanan perlahan-lahan akan hilang, digantikan dengan kelapangan dan keringanan. Soalnya, bagaimana mahu menjadi orang berilmu? Caranya hanyalah dengan belajar.

Tambahan, niatkan belajar untuk bantu keluarga dan diri sendiri. Siapa tahu, berkat anda belajar, dapatlah menjadi manusia berguna, mencari rezeki mahupun membuka peluang pekerjaan sendiri. Pokok pangkalnya hati kena ikhlas dalam belajar.

Kedua :

PILIH RAKAN BELAJAR


Pernah tak anda dengar, rakan ini ada pelbagai peringkat? 

Ada rakan yang kalau datang ke rumah kita, kita hanya melayannya di luar rumah sahaja, ada rakan yang kita melayannya di ruang tamu, tapi ada sebahagian kecil rakan yang kita boleh benarkan dia masuk sehingga ke dapur dan makan bersama keluarga kita.


Supaya mudah difahami, saya ceritakan semula. Begini, ada rakan yang hanya kita kenal namanya sahaja dan dia pun begitu. Ada rakan yang kita boleh berbual tetapi tidak sebulu, dan ada rakan yang ibarat seperti ahli keluarga kita, sentiasa membantu kita masa susah senang dan bersedia menegur kita jika kita tersilap langkah.

Rakan yang terakhir ini sangat penting untuk anda miliki jika anda merupakan seorang pelajar, apatah lagi jika anda terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika belajar. 

Bayangkan, anda jauh dengan keluarga semasa belajar, ada satu hari anda demam sampai tidak larat untuk bangun. Bagaimana anda mahu makan? Bagaimana mahu ke klinik untuk rawatan? Siapa yang hendak anda harapkan? Bolehkah anda lakukan semuanya sendirian?

Jika anda tiada rakan seperti kriteria yang ketiga tadi, maka ini gila! Ya, mustahil untuk anda lakukan semuanya secara sendirian.

Jadi, bolehlah kita katakan pemilihan rakan belajar yang tepat, memainkan peranan penting dalam kehidupan pelajar. Oh ya, pastikan rakan rapat anda merupakan kaki belajar, untung-untung anda dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan mendapat teman sejati dalam pengembaraan menuntut ilmu anda.

Ketiga :

PILIH BIDANG YANG BETUL


Supaya adil dengan diri, anda hendaklah memilih bidang pembelajaran yang betul, terutama jika mahu melanjutkan pembelajaran di peringkat menara gading. Apakah maksud adil? Adakah dengan memilih sesuatu bidang kerana minat menjadi tanda anda adil dengan diri sendiri?

Bayangkan, 

Anda minat bertani, memiliki pengalaman dan pengetahuan asas tentang pertanian, namun kerana terpaksa, anda memilih bidang membaik pulih kenderaan. Betapa ruginya minat pertanian anda jika tidak dikembangkan dengan peluang menyambung pelajaran dalam bidang tersebut.

Atas sebab itulah, anda perlu mengetahui apakah minat anda, dan apakah bidang ilmu yang anda yakin dapat mendalaminya. Kata orang, masa yang paling baik untuk belajar adalah pada masa muda. Jika ketika muda anda tidak mendalami ilmu yang anda minat, kemungkinan besar pengetahuan anda terhadap perkara tersebut, hanya terhenti setakat itu sahaja.

Kesannya, seumur hidup anda berdepan dengan perkara yang anda tidak berapa suka. Ini kerana, biasanya bidang yang dipelajari di universiti, akan diteruskan di alam pekerjaan. Anda pernah dengar, 

"Do what you love, and you`ll never work a day in your life!".


Keempat :

SUSUN WAKTU BELAJAR


Saya setuju, hal ini yang paling sukar. Menyusun waktu dan mendisiplinkan diri untuk mematuhinya, adalah antara perkara yang paling berat untuk dilakukan.

Jadi, susunlah waktu mengikut kemampuan anda! Mengapa perlu menyusun waktu dengan begitu ketat dan nampak seperti mustahil untuk dipatuhi?

Ada yang menyusun waktu belajar, sampai tidak menetapkan masa untuk berehat dan berhibur, walhal badan mempunyai hak-haknya yang perlu ditunaikan. 

Cuba hayati bait kata-kata ini :

Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan,

Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber kejayaan,

Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik bagi jiwa.


Pokok pangkalnya, istiqamah ! Jika anda telah menetapkan bahawa masa ulangkaji dalam sehari adalah sejam, maka istiqamahlah setiap hari. Tahukah anda, ulangkaji sejam sehari, tiga bulan sebelum peperiksaan, adalah lebih baik daripada ulangkaji berjam-jam, sehari sebelum peperiksaan. Bila orang lain gelabah ulangkaji di saat akhir, anda hanya tenang kerana semua yang mereka baru nak baca, anda telah berkali-kali khatamkannya. 

Ingat, pokok pangkalnya, istiqamah, walaupun sedikit.

Kelima :

DOA


Apa guna menjadi hamba Allah, jika tidak meminta kepada-Nya. Allah adalah Al-Mujib, ertinya yang mengkabulkan doa. Berdoalah, selepas anda lelah berusaha. Berdoalah, bila anda telah mencuba sehabis daya.


Doa yang tulus, bukan sahaja mendapat pahala yang banyak, bahkan memberikan anda ketenangan dan kekuatan dalaman. Berdoalah supaya Allah memudahkan urusan belajar anda, berdoalah supaya Allah memberikan kejayaan kepada anda.

Akhir kalam,

Apa yang dapat saya simpulkan, kejayaan atau kegagalan dalam belajar, sedikit sebanyak ditentukan oleh usaha anda. Ingat, orang yang berjaya, sentiasa mencari jalan, tapi orang yang gagal, sentiasa memberi alasan. Berjaya atau gagal, andalah yang menentukan!

No comments:

Post a Comment