Niat laksana isi dalam buah. Lihat
durian, fizikal luarnya nampak gagah, sukar ditembus. Kita memerlukan alatan
tajam untuk membuka kulit durian, sebelum merasai lazat isinya. Kadangkala,
penat kita membelah isi, sehingga luka jari, sakit lengan dan otot, tetapi isi
yang kita dapat keras, tawar ataupun mentah. Akan tetapi, adakalanya kita bertemu
dengan durian yang telah dirobek sang tupai, kita geli hendak memakan, tidak
mahu membelah dan adakalanya kita biarkan sahaja durian itu membusuk. Tetapi,
bagi penggemar durian, mereka akan membelah durian yang telah dirobek, kerana
meskipun buruk rupanya, namun isi durian yang telah dirobek, jarang-jarang
mengecewakan, kerana bukankah tupai itu penilai durian yang baik?
Begitulah
niat, kadangkala terzahir di fizikal perbuatan yang nampak mukhlis, berniat
baik. Namun di hatinya hanya Allah yang tahu apa niat yang tersembunyi. Contoh,
seorang taulan yang kita tahu tidak menyukai kita, tiba-tiba menghulur bantuan
penuh kasih, tetapi kita curigai ketulusannya melakukan hal tersebut. Tetapi,
adakalanya kita melihat perilaku yang zalim, tetapi kerana ketulusan hati,
Allah menilainya sebagai golongan yang memperolehi martabat mukhlisin. Seperti
kelihatan zalim sang ayah yang merotan anak akibat tidak solat setelah menjengah
umur 9 tahun, namun niat sang ayah merotan semata-mata mahu mendidik anaknya
menjadi hamba yang bertakwa, tunduk pada Allah dengan melaksanakan solat yang
diperintahkanNya.
Susah
mahu menilai keikhlasan. Insan tidak mungkin mampu untuk menilai keikhlasan
insan lain. Hal ini adalah kerana insan tidak mempunyai kelebihan membaca hati
insan yang lain. Pencarian makhluk bernama ikhlas dalam diri insan yang lain
umpama mencari semut hitam, yang berada pada waktu malam di atas batu yang gelap.
Mustahil untuk mengetahuinya. Jika kita mencari teman dan rakan, ataupun
pendamping hidup, dengan meletakkan syarat ikhlas sebagai kriteria utama, maka
ketahuilah, kita hanya mencari benda yang tiada. Kerana hukum alam menetapkan,
sesuatu yang tidak nampak itu, seakan-akan tiada.
Lihatlah
ajaran agama, kita tidak disuruh menghukum. Jangan kata orang lain tidak
ikhlas, jangan tuduh orang lain sebagai teruk atau jahat. Kerana pelbagai
peristiwa yang berlaku atas muka bumi ini, tidak dapat diadili daripada satu
sudut pandang atau dimensi semata-mata. Ada insan kita nampak perbuatannya
jahat di sisi pandang kita, tapi di sisi pandang lain mungkin ada insan
mengaggap perbuatannya sebagai wira. Begitu juga bila membicarakan tentang hati
yang ikhlas. Agama tidak menyuruh kita sibuk mencari keikhlasan dalam hati
insan lain, bahkan agama mendidik kita agar menjaga keikhlasan hati
masing-masing. Jangan hirau tentang keadaan hati orang lain, sebaliknya kita
yang bertanggungjawab tentang keikhlasan hati kita ketika melakukan sesuatu hal
atau perkara.
Didiklah
hati untuk ikhlas. Ikhlas tidak dapat dengan hanya berteori semata-mata.
Mungkin penutur yang mengajar tentang bab ikhlas, mahupun penulis yang menulis
tentang kepentingan ikhlas, bahkan mungkin si penasihat yang menasihati agar
ikhlaslah dalam perbuatan, boleh jadi sahaja tidak ikhlas. Ikhlas adalah
ketulenan, kejernihan dan kepatuhan kepada syara` saaat melakukan sesuatu hal atau
perkara. Ada insan, mendidik dirinya dengan ikhlas, dengan jalan melakukan pekerjaan
kasar, seperti membersihkan tandas, mengutip sampah di jalanan, kerana
kelihatan hina dan kotor di mata manusia, tetapi mungkin ikhlas tangan yang
membersihkan tandas dan sampah di jalanan itu, lebih wangi perilakunya di sisi
Allah berbanding sang kaya yang menghulurkan sumbangan puluhan juta, di hadapan
lensa dan kamera, walhal pada ketika itu, riya` telah bersarang di dada, dengan
angkuh dan sombongnya memberitahu pada dunia, lihatlah derma ikhlas saya
bernilai jutaan ringgit dengan katanya : aku ada, kau ada?
No comments:
Post a Comment