Monday, October 31, 2011

Usahalah Walau Sedikit

MALAS....Malas bangun dari katil, malas ke melangkah ke jamiah, malas mendengar kuliah pensyarah, malas menyiapkan assignment, malas mengulangkaji pelajaran, malas menadah kitab, malah kadang-kadang bila datangnya malas yang betul-betul malas, hendak memasak untuk dimakan sendiri pun terasa sangat malas. Sungguh, bila malas yang luar biasa datang, terasa begitu berat sekali untuk melakukannya, walaupun perkara itu bukanlah memerlukan daya kudrat ataupun akal fikiran yang luar biasa, hanya biasa-biasa sahaja. Tapi itulah realiti, kerana kita bernama manusia, kemalasan adalah sesuatu perkara yang bersifat biasa, cuma yang membezakannya, bagaimanakah cara kita dalam menghadapinya.

Pernah anda mendengar kata pepatah, `kalau tiada rotan, akarpun berguna`?. Saya fikir pepatah ini amatlah baik andai dapat diaplikasikan dalam menghadapi rasa malas. Cuma ditransformasikan sedikit, `kalau tidak dapat semua, sedikitpun mencukupi`. Apakah itu? Sebentar lagi anda akan memahaminya.

Kemalasan berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya ialah kita selalu berangan-angan untuk melakukan sesuatu yang sempurna dalam sekelip mata. Kalau membuat assigment, biarlah hebat dan gempak, kalau memasak biarlah sedap dan menyelerakan, kalau mengulangkaji pelajaran biarlah serius tanpa gangguan dan kelesuan. Bak kata orang, `jangan sekadar melepaskan batuk di tangga`.

Betul, semua itu bagus ANDAI dapat dilaksanakan dengan jayanya. TAPI harus diingat, kejayaaan tidak bergolek datang dalam sekelip mata. Usah bermimpi untuk menghasilkan assigment yang hebat, andai `date line` nya esok, malam itu baru dipulun. Usah bermimpi untuk pandai, andai jalannya diambil secara singkat. Semuanya faktor masa. Apa guna mengulangkaji sehingga terjegil-jegil biji mata, andai itulah ulangkaji pertama dan terakhir menjelang peperiksaan yang berlangsung esok. Lebih baik andainya begini....

Lakukanlah dengan sedikit tetapi istiqamah. Usah menangguhkan kerja sehingga akhir waktunya. Sepertimana kita menjaga solat dengan solat di awal waktu, begitu juga sikap kita dengan kerja, assigment malah mengulangkaji pelajaran. Bukankah solat di awal waktu merupakan salah satu akhlak solat, dan bukankah apa sahaja yang berkaitan dengan solat merupakan satu bentuk latihan bagi kita, dan haruslah diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Saya lebih memilih begini, biarlah dalam sehari saya cuma mengulangkaji pelajaran tidak lebih dari sejam,tetapi dilakukan secara istiqamah setiap hari, daripada bermulanya minggu pertama kuliah sehinggalah hari terakhir peperiksaan. Mungkin tidak dapat baca semua dalam tempoh sejam itu, tetapi paling tidak, saya tidak meninggalkan semua yang perlu dibaca setiap hari. Di kala peperiksaan menjelang tiba, mungkin saya sudahpun melangsaikan pembacaan yang sedikit demi sedikit itu, malah dengan ingatan dan pemahaman yang lebih disebabkan suasana yang santai tanpa tekanan. Sekiranya di saat akhir baru bertemankan kitab dan nota, maka apa yang anda dapat tidak lain hanyalah ilmu yang amat mentah, yang apabila sudah selesai peperiksaan, akan mengalir keluar umpama air yang pecah dari empangan. Begitu juga soal kerja dan assigmnet, kalau semuanya dilakukan di saat akhir, pastilah berakhir dengan ada yang tidak lengkap, salah di sini sana dan bebanan perasaan yang berperang antara rasa mengantuk keletihan dan amanah yang menentukan natijah subjek yang diambil. Lebih baik rasanya kerja itu dilakukan secara santai dan bersahaja, sedikit demi sedikit yang lama-lamanya pasti membukit.

Dengan melakukan kerja, assigment dan mengulangkaji secara sedikit tetapi konsisten dan berpanjangan, pastilah perasan malas berkurangan. Kerana ianya begitu santai, rileks, bersahaja, sedikit, tidak melelahkan malah bebas daripada tekanan dan bersifat biasa-biasa, tidak membebankan sesiapa sahaja. Bukankah biasa-biasa yang luar biasa istiqomahnya akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa hebatnya? Hasilnya INSHA ALLAH mempesonakan. Ayuh kita berubah. Jangan dimarah rasa malas, tetapi hadapilah ia sebagai manusia, yang dikurniakan akal untuk merancang bagaimana menghadapi rasa malas. Pepatah arab pernah menyebut:

اجتهد ولا تكسا فالندامة عقبى لمن يتكسل

Berusahalah dan janganlah malas, sesungguhnya penyesalan itu kesudahan bagi orang yang malas

Darul Sunan Sittah, Mat`am Syuruq, Mu`tah, Jordan.....

1 comment: