Thursday, July 4, 2013

NOTA PUASA


Ulangkaji berkaitan puasa sempena Ramadhan Kareem yang kian dekat. Moga Allah menyampaikan kita kepadanya dan amalan kita diterima olehNya.

Bismillah,

PUASA RAMADHAN secara istilah syarak ialah menahan diri daripada melakukan perbuatan yang membatalkannya daripada terbit matahari sehinggalah terbenam fajar pada hari-hari Ramadhan. 

RUKUN PUASA
  1. Menahan syahwat batin dan faraj.
  2. Menahan daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa.
  3. Niat berpuasa di malam hari ( di sisi Syafie dan Maliki).

TEMPOH BERPUASA
  1. Bagi tempat yang terbit matahari. Bermula daripada terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.
  2. Bagi tempat yang tidak terbit matahari. Mengikut waktu tempat yang terbit matahari paling dekat dengannya.

SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA
  1. Islam (syarat wajib di sisi Hanafi, dan syarat sah di sisi Jumhur)
  2. Baligh.
  3. Aqil.
  4. Mempunyai kekuatan untuk melaksanakannya / tidak uzur sama ada uzur syar`i ataupun sakit.
  5. Iqamah ( syarat ini syarat tambahan di sisi Hanafiah).

SYARAT-SYARAT SAH PUASA (di sisi Syafie, dan ia sedikit berbeza di sisi mazhab-mazhab yang lain)
  1. Islam pada ketika tempoh berpuasa.
  2. Aqil dan Mumayyiz pada ketika tempoh berpuasa.
  3. Tidak didatangi Haidh dan Nifas pada ketika tempoh berpuasa.
  4. Berpuasa pada hari yang tidak diharamkan berpuasa.


PERKARA SUNAT BERKAITAN PUASA
  1. Sahur meskipun hanya meneguk air.
  2. Mempercepatkan berbuka setelah yakin masuk waktu berbuka.
  3. Berdoa ketika berbuka dengan doa yang ma`thur.
  4. Memberi makan mereka yang berbuka puasa.
  5. Mandi Hadas Besar / Janabah bagi sesiapa yang wajib melaksanakannya sebelum terbit fajar.
  6. Menjaga lisan dan perbuatan.
  7. Meninggalkan syahwat yang tidak membatalkan puasa seperti muqaddimah jima` dan berciuman.
  8. Berkasih-sayang dan bersedekah kepada fakir dan miskin.
  9. Meninggalkan berbekam di siang hari ( di sisi Syafie).
  10. Memperbanyakkan tilawah Al-Quran dan menuntut ilmu.
  11. Iktikaf.

PERKARA MAKRUH BERKAITAN PUASA
  1. Tidak berbuka langsung antara dua puasa.
  2. Muqaddimah jima`(persetubuhan) seperti ciuman, sama ada hanya berfikir mengenainya, atau memandangnya atau melakukannya kerana ditakuti berlakunya persetubuhan atau ejakulasi.
  3. Berlebih-lebihan dalam perkara yang berpotensi membatalkan puasa seperti mandi dan berkumur kerana dikhuatiri masuk ke dalam rongga.
  4. Merasa makanan kerana dikhuatiri masuk ke dalam rongga.
PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
  1. Jimak / persetubuhan yang mewajibkan mandi hadas.
  2. Keluarnya air mani ataupun air mazi dengan sebab ciuman, aksi, pandangan, atau pemikiran yang membawa kepadanya (dengan sengaja).
  3. Muntah dengan sengaja, sama ada memenuhi mulut ataupun tidak (terkeluar atau ditelan) dan .
  4. Masuknya air/ cecair atau sesuatu melepasi tekak sama ada melalui mulut, hidung ataupun telinga, sama ada secara sengaja atau tidak atau tersalah ( tetapi terdapat khilaf mengenai penggunaan Inhaler bagi pesakit lelah, Inshaa Allah akan cuba dilampirkan kemudian ).
  5. Masuknya sesuatu ke dalam perut sama ada melalui apa-apa sahaja rongga termasuklah liang roma sama ada secara sengaja, atau tidak atau tersalah.


Adapun keterangan ini sangatlah ringkas dan tidak diletakkan sekali perbincangan yang lebih mendalam bagi tujuan memudahkan teman-teman yang tidak mengambil jurusan agama dan tentu saja ianya belum mencukupi untuk dijadikan sandaran kalian. Adapun teman-teman dijemput untuk membacanya sendiri melalui sumber-sumber yang saya nyatakan, ataupun sumber-sumber lain yang muktabar dan valid. Allahu a`lam.

Moga puasa kita diterima Allah dan beroleh ketakwaan.

(^_^)

Sumber :
1. Mausu`ah Fiqh Islami, Dr. Wahbah Az-Zuhaili.
2. Al-Hidayah, Al-Murghinani

No comments:

Post a Comment