KEKUATAN DAN KELEMAHAN UMAT ISLAM
الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى حَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ نَّبِيِّ الرَّحْمَةِ وَشَفِيْعِ اْلأُمَّةِ وَعَلَى اَلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ وَالاَهُ. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.
قد قال الله تعالى في الكتاب المبين ( • • )
Sidang jumaat sekalian,
Pada Jumaat yang penuh keberkatan ini, ayuhlah kita semua memperkukuhkan keimanan dan mempertingkatkan ketaqwaan terhadap Allah S.W.T dengan melaksanakan perintahNya dan menjauhi tegahanNya, dengan demikian mudah-mudahan Allah S.w.t menjadikan kita muslim yang sebenar-benarnya mukmin iaitu insan yang sentiasa tunduk, patuh dan menyembah hanya kepada Allah S.W.T semata-mata.
Firman Allah S.W.T. :-
Yang bermaksud : Dan tiadalah mereka itu diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid (Al-Bayyinah : 5)
Sidang jumaat sekalian,
Allah telah menciptakan manusia, dan Allah jugalah yang layak dan berhak untuk mengadakan satu agama yang mampu menjadi pedoman dan anutan manusia ciptaan-Nya. Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah S.W.T. dan Islam juga adalah satu-satunya agama yang mampu membawa kebahagiaan dan ketenangan kepada manusia di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya umat Islam adalah umat terbaik, umat yang seimbang dalam pelbagai aspek, yang pernah wujud di muka bumi ini. Allah S.W.T. telah menjanjikan bahawa umat Islam adalah umat yang paling berkuasa dan perkasa dan di tangan umat Islam pulalah letaknya kendali kepimpinan untuk umat manusia. Di bahu umat Islamlah terpikul amanah untuk membawa manusia keluar daripada kesesatan dan kejahilan kepada ketauhidan dan pengabadian hanya kepada Allah Yang Maha Esa. Umat Islam juga bertanggungjawab menghapuskan kezaliman dan penganiayaan, lantas menciptakan keadilan dan kedamaian di setiap pelusuk dunia.
Kamus sejarah mencatat kisah, umat Islam pernah menakluki bumi ini suatu ketika dahulu, namun setelah masa berlalu, umat ini telah semakin hanyut dan leka dibuai mimpi serba indah yang menyebabkan berlakunya kesilapan demi kesilapan yang membawa kepada kejatuhan. Mereka telah menciptakan pergaduhan dan persengketaan dalam masalah hukum dan pemerintahan. Mereka juga yang menimbulkan ketegangan dan ketaksuban yang memecahkan penyatuan umat. Mereka juga telah meninggalkan segala amalan demi mengecapi nikmat bersifat keduniaan. Akhirnya umat ini ditimpa musibah besar dengan ditinggalkan Allah daripada pertolongan dan pembelaannya. Jadilah umat Islam sebagai umat yang hanya wujud pada nama dan bentuk zahirnya semata-mata. Namun amalan dan kehidupan telah ditinggalkan jauh dari nilai-nilai keislaman yang mulia. Maka jadilah umat Islam sebagai umat yang melutut dan tunduk pada desakan dan ugutan.
Kesan dan akibat dengan hancurnya ketamadun dan kehebatan umat islam itu telah meninggalkan luka yang mendalam di tubuh dan jiwa umat Islam masa kini. Lebih parah lagi, umat Islam kini menjadi semakin lemah dan ditinggalkan oleh kepesatan pengetahuan yang begitu mempesonakan. Tidak cukup dengan itu, umat Islam berhadapan pula dengan penyakit lemahnya akidah, musnahnya akhlak, jahilnya pengetahuan, miskinnya kesopanan , berpecah-belahnya kekuatan, terputus-putusnya ikatan persaudaraan dan hilangnya keberanian.
Di atas kelemahan umat Islam itulah, golongan kafir berhasil memusnahkan agama, mengubah akhlak, menahan kemajuan, menentang yang haq, mematikan jalan-jalan ilmu yang dimiliki umat Islam dan menguasai ekonomi umat Islam. Lalu hancurlah kekuatan, musnahlah perpaduan, tenggelamlah keimanan, hilanglah keIslaman.
Sidang Jumaat sekalian,
Ketahuilah kita bahawasanya punca berlakunya kemusnahan demi kemusnahan ini ialah sebab umat islam telah melupakan Allah S.W.T, lalu akhirnya Allah S.W.T. juga telah melupakan kita. Maha benar Allah dengan firmannya :
[Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah S.W.T., lalu Allah melupakan dia].
(Surah Al-hasy'r :19)
Pengalaman yang diambil melalui liku-liku sejarah sepatutnya menjadikan kita peka dan tahu, bahawa sebagai indivdu-individu yang mengaku muslim, kita hendaklah melakukan penambahbaikan dalam jiwa dan akhlak kita. Penambahbaikan itu mestilah diteliti asasnya dan dipercepatkan langkahnya supaya dapatlah kita berhati-hati dan berdedikasi, jangan kita tempuh lagi jalan-jalan yang menyebabkan kelemahan dan kegelapan. Sebaliknya kita lalui pula jalan-jalan yang dapat menyebabkan timbulnya kekuatan dan kemuliaan.
Untuk menimbulkan kekuatan dan kemuliaan itu, bukanlah dengan mengabaikan akhlak dan kesopanan, juga bukan dengan mengikut-ikut golongan timur dan barat. Kekuatan hanya didapati dengan mengikut dasar-dasar yang kekal, mulia dan karamah yang ada dalam syariat Islam yang disampaikan oleh baginda nabi s.a.w.
Masanya sudah tiba dan waktunya sudah datang bahawa umat Islam mestilah mendalami dan menghayati maksud Islam yang hakiki, kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya, melaksanakannya di semua pelusuk dunia dan menzahirkan syiarnya dengan menzahirkannya dalam kehidupan dan amalan, sehingga panji-panji Islam akan berkibar tinggi, sehingga umat Islam benar-benar menjadi penguasa di muka bumi ini dan semua manusia akan masuk dalam agama Allah ini dengan berduyun-duyun. Jika umat Islam mampu memiliki kekuatan-kekuatan yang dituntut oleh Islam tadi, maka akan nyatalah firman Allah S.W.T:
[Pada hari itu bergembiralah seluruh kaum mukminun dengan pertolongan Allah, Allah memberikan pertolongan kepada sesiapa sahaja yang di kehendaki. Dia adalah maha mulia lagi maha penyayang] (Surah Ar-Ruum ayat 4-5)
KHUTBAH KEDUA
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِىَ لَوْ لاَ أَنْ هَدَانَا اللهُ.
Sidang Jumaat sekalian,
Pada Jumaat yang mulia ini, maka janganlah kita bertangguh lagi untuk menghitung dan menghisab, adakah kita tergolong dalam umat Nabi Muhammad saw yang dicintainya ataupun tidak kalau kita gagal untuk mengembalikan keagungan dan kehebatan umat Islam.
Tiada salahnya, mahupun malu atau segannya bagi kita menoleh ke belakang untuk mengambil iktibar dan penduan melalui tinggalan umat yang lalu dan melihat ke hadapan dengan perancangan lebih teliti dan berkesan bagi membolehkan umat Islam terus melangkah dengan survival dan penuh keyakinan dan bertawakal kepada Allah. Imam Malik r.a. berkata: “Tidak akan baik golongan yang terakhir daripada umat ini kecuali dengan apa yang sudah baik umatnya yang terdahulu.”
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ اْلأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَاتِ.
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوْبَنَا وَِلإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِاْلإِيمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلاًّ لِلَّذِينَ آمَنُواْ رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَحِيمٌ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسلاَمَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِينَ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِينَ، وَالظُّلْمَ وَالظَّلِمِينَ. وَانْصُرْنَا عَلَى هَؤُلآءِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَنَا وَيَصُدُّونَنَا عَنْ سَبِيلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ يَا مُجْرِىَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ اْلأَحْزَابِ، اِهزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْلَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ. رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا.
رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ. وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
No comments:
Post a Comment