Wednesday, December 21, 2011

Beku

"Rutin itu perlu diubah", secara tiba-tiba perbualan saya bersama seorang rakan seperjuangan menjadi serius. "Kita seperti tidak bermakna adanya. Ye lah, cuma tahu pergi kuliah, belajar dalam kuliah, pulang, berfacebook, malamnya diiisi dengan ulangkaji, hanya itu sahajakah rutin MAHASISWA?" Terasa pijar mendengarnya. Semua rutin harian saya diterjemahkan dalam bahasa sinis. Saya menjawab, "jadi rutin apa lagi yang ada untuk mahasiswa?"

Tidak berjawab. Sahaja beliau senyum. Membiarkan saya terkulat-kulat mencari jawapan. Semuanya berpunca daripada kalimat MAHASISWA. Kalau saya bukan mahasiswa, pasti rutin harian saya tidak menjadi bahan `gurau`nya.

Lama kemudian beliau mula berhujah, "kita mahasiswa kini, kurang cakna. Hanya terperuk di dalam `gua`, beralaskan tilam, beselubung selimut. Sehingga cerita-cerita semasa, hampir langsung tidak diambil peduli oleh kita. Mungkin andai kisah Malaysia bertukar Perdana Menteri pun, tidak diketahui oleh kita. Kalau adapun yang cakna, kurang daripada mereka ini yang mampu menganalisa, apatah lagi mengkaji dan disusuli dengan apa-apa tindakan. Puncanya, kita ini mahasiswa yang hanya beroreantasikan teks kuliah, menjadikan kita kurang kecenderungan kepada isu-isu manusiawi, sedangkan ilmu itu adalah wasilah untuk kita menghadapi peradaban manusia. Kita hanya fokus pada peperiksaan, sedangkan matlamat belajar itu ialah kemampuan kita menjadi khalifah di muka bumi dengan penuh kebijaksanaan, bagaimana mahu bijak, andai otak ini membeku?"

Saya tercengang.

Ilmu untuk menjadi khalifah di muka bumi, tidak cukup dengan teks di dalam kelas. Bahan bacaan dan maklumat luaran, dan tidak ketinggalan, pengetahuan mengenai hal-hal semasa, inilah mahasiswa yang dikehendaki oleh massa.

No comments:

Post a Comment