Nota yang ditulis berdasarkan pemahaman saya dalam buku terjemahan. Saya meringkaskan mengikut sudut pandangan saya, jika ada sahabat-sahabat yang berbeza pandangan, kita kongsilah. Insha Allah, kalau sempat saya ingin juga menulis untuk tajuk-tajuk lain.
1. Perbincangan sebelum melakukan sesuatu keputusan adalah amalan yang dilakukan oleh Rasullah SAW.
Meskipun baginda merupakan ketua kaum Muslimin dan pesuruhNYA, baginda tidak menyisihkan pandangan sahabat-sahabat dalam membuat sesuatu keputusan. Ini bertepatan dengan firmannya:
وشاورهم في الأمر
" dan bermusyawarahlah mereka dalam urusan itu" (Surah Ali Imran : 159)
2. Terserlah sifat pengecut kaum munafiq.
Abdullah Bin Ubai berjaya menghasut 300 orang pemuda munafiq untuk menarik diri daripada peperangan di pertengahan jalan. Hal ini membuktikan mereka adalah pengecut walaupun usia rata-rata mereka adalah muda dan tiada keuzuran untuk keluar berperang.
3. Nabi SAW tidak meminta bantuan golongan kafir lain untuk memerangi kafir.
Ada sahabat mencadangkan Nabi agar meminta bantuan daripada golongan Yahudi yang berbai`ah bersama Nabi di Madinah, namun Nabi menolaknya dengan sabdanya:
لا نستنصر بأهل الشرك على أهل الشرك
"Janganlah kita meminta bantuan musyrikin untuk menentang musyrikin"
4. Kebijaksaan Nabi SAW dalam mengatur strategi peperangan.
Taktik menempatkan pasukan pemanah diketuai Abdullah Bin Jarir amat bijak dan relevan. Ia sebagai back-up yang mampu mengucar-kacirkan pertahanan musyrikin daripada mara ke hadapan. Jelas terbukti kebijaksanaan strategi Nabi SAW dalam memimpin angkatan perang.
5. Pemuda yang berjiwa pejuang.
Samarah bin Jundub dan Rafi` Bin Khadij meminta izin untuk menyertai peperangan ini, walhal mereka hanyalah anak muda berusia 15 tahun. Keizinan Nabi melambangkan betapa keterlibatan anak muda dalam lapangan agama amat dialu-alukan. Ruginya pemuda yang hanya melepaskan masa mudanya begitu sahaja tampak apa-apa impak bagi agamanya.
6. Cintanya sahabat kepada Nabi SAW.
Abu Dajanah, Abu Thalhah dan Ziad bin Sakan menjadikan diri mereka benteng bernyawa yang menghalangi nabi daripada tusukan panah mahupun hirisan mata pedang. Jika tidak kerana cinta, mustahil sahabat-sahabat ini menggadaikan nyawanya untuk menyelamatkan Rasul, yang sewajibnya dicintai seluruh dunia dan isinya.
7. Sifat bongkak, ujub dan takabbur HARUS ketika perang.
Signifikan daripada sikap Abu Dajanah yang berjalan dengan penuh takabbur ketika peperangan ini ialah mampu melahirkan rasa semangat dalam diri sendiri dan menghilangkan gentar yang ada, serta sebagai terapi diri untuk menghadapi musuh. Dalil pengizinan takabbur dalam perang ialah sabda Nabi SAW:
إن هذه مشية يكرهها الله إلا في مثل هذا الموضع
"Lagak ini dibenci Allah, kecuali di tempat seperti ini"
8. Allah melatih jiwa Muslimin untuk berperang hanya keranaNya, bukan disebabkan oleh Nabi.
Tersebarnya berita tentang kawafatan Nabi, maka ada sahabat yang ragu-ragu dengan perjuangan di medan perang. Bangkit Anas bin Al-Nadhor meniupkan semangat, sehingga beliau akhirnya syahid. Firman Allah:
وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل أفإن مات أو قتل انقلبتم على أعقابكم ومن ينقلب على عقبيه فلن يضر الله شيئا
9. Iman kepada Allah dan Rasul adalah kunci utama kepada kemenangan.
ziarah sini... semoga Allah redha..
ReplyDelete