Pernah merasai resah? Pernah menghadapi peristiwa sedih? Kejadian yang membekas di jiwa, yang meremukkan hati, dan yang menguji keimanan. Umpamanya, gagal dalam peperiksaan akhir yang menentukan masa depan, dibuang kerja ketika kerja itulah sahaja sumber pendapatan yang kita mampu dan ada, kehilangan insan-insan yang tersayang, ditinggalkan oleh manusia yang amat-amat dicintai sepenuh hati. Rasa seperti dunia sudah berakhir, siang dan malam tiada beza, gelap. Serasa semuanya tawar dan hambar, mati rasa.
Hakikatnya, semua manusia pasti dan pernah berada dalam keadaan titik-titik terendah kehidupan. Bayangkan seorang suami sedikit waktu dahulu di Acheh, keluar seawal pagi bagi mencari rezeki buat anak dan isteri, apabila petang menjelang, ombak membadai, pulang ke rumah, sudah tiada apa lagi yang tinggal. Bayangkan seorang kekasih, sudah menyemai cinta yang teramat dalam buat si gadis, semuanya dikorbankan, kebebasannya, usia remajanya, hatinya, demi yang tercinta. Usah dibahas masalah hukum, kerana ianya ma`ruf dan maklum. Namun, bayangkanlah impiannya yang setinggi langit, membina mahligai idaman dengan gadis pujaan, yang cintanya kepada dia ikhlas, suci dan setia, dengan harapan yang disandar padaNya, janjinya sehidup semati, akhirnya punah dan musnah, pabila ditinggalkan tanpa bicara, penjelasan dan perbincangan. Remuk, serasa dunia sudah tidak berputar. Semuanya beku, mati rasa. Diburu kenangan, dibunuh impian, bukankah dia amat kasihan?
Tapi, itukah sebuah pengakhiran? Apakah langit sudah runtuh dan hari telah kiamat? Sudahkah dia mati dan tidak akan hidup kembali. Benar dan ya, dia telah mati andai dia gagal bangkit. Mati yang belum hakiki. Apa guna hidup dengan jiwa yang sudah mati, umpama menjadi mayat bernyawa menunggu mati. Baik pergi sahaja ke Palestin, berjihad nyata di jalan Illahi, mati tidak menjadi rugi. Tetapi jawapan yang lebih padan dan tepat, itu bukanlah pengakhiran. Manusia, bukankah langit masih seperti dahulu. Utuh dan setia, meski petir dan halilintar banyak kali merosak suasana? Bukankah bintang masih bersinar, meski terkadang ditutup kabus malam? Bukankah mentari tetap terang sesudah gelap? Bukankah pelangi menjadi dan amat cantik, selepas lebatnya hujan? Itulah ajaran Dia yang diwasilahkan kepada indahnya alam. Hidup gelap, mustahilkah diterangkan semula. Bukankah Umar itu lahir hebat setelah melalui kegelapan yang dahsyat? Bukankah ujian itu bagi mengangkat darjat, mendekatkan hamba kepada Tuhan sekalian jasad? Bukankah perpisahan itu satu hal yang pasti dan hakikat? Kerna mati itu ialah perpisahan yang pasti, sama ada lambat atau cepat.
Kata Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad, "Jika dengan hikmah Allah suatu jalan ditutup di hadapanmu, maka dengan rahmatNya, Dia akan membuka jalan lain yang lebih bermanfaat dari jalan pertama".
Raikanlah kegembiraan ini........
"Demi yang diriku ada di tanganNya, tidaklah Allah menetapkan suatu qadha bagi si mukmin, melainkan itu merupakan kebaikan baginya"
Hadith riwayat Ahmad
"Demi yang diriku ada di tanganNya, tidaklah Allah menetapkan suatu takdir bagi si mukmin, melainkan takdir itulah yang terbaik baginya".
Hadith riwayat Muslim dan Ahmad
Sang pencinta sejati, junjungan Nabi Muhammad saw, dengan rasa kasihnya telah mengajar satu doa ketika dihimpit kesedihan melampau, sepotong doa yang cukup cantik diajar baginda s.a.w kepada para sahabat, sekaligus kepada umatnya.
"Tidaklah ada kekhuatiran(hamm) atau kesedihan(huzn) yang menimpa seorang hamba, lalu dia mengucapkan, Ya Allah, sesunggunya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu yang lelaki dan anak kepada hambaMu yang perempuan. Ubun-ubunku ada di tanganMu, hukumMu berlaku pada diriku, qadaMu adil pada diriku. Aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang menjadi milikMu, yang dengannya Kau menamakan diriMu, atau Engkau menurunkannya dalam kitabMu, atau Engkau mengajarkannya kepada seseorang di antara makhlukMu, atau Engkau menahannya dalam ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran hujan musim semi di hatiku, cahaya di dadaku, terangnya kesusahanku, hilangnya kekhuatiran(hamm) dan kesusahan(gham), melainkan Allah menghilangkan kekhuatiran dan kesedihannya, dan mengganti tempatnya dengan kegembiraan"
Hadith riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Abu Ya`la dan Al-Hakim
Suatu waktu nanti, kesedihan pasti hilang, hidup kembali riang, kerana adat hidup di dunia, umpama putaran roda, ada masa merasa di atas, dan ada kalanya, terperosok ke bawah, sungguh, aturan Allah selalunya terindah, tinggal kita, yang harus bersabar, untuk menunggu indah, yang terhijab, dek rahsiaNya Yang Mahu Tahu, ingat, kita masih punya DIA...
"Sekiranya hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat"
(Al-Quran 2:186)
Ya, Dia dekat.....
Bayt Arqam, Mutah, Jordan.
No comments:
Post a Comment