Sunday, December 30, 2012

Bicara Tanpa Lidah, Nukilan Tanpa Pena; Selamat Jalan 2012

"Wahai orang Timur yang sedang nyenyak tidur! Yang sedang diulit mimpi! Cukuplah! Lenamu sudah melampau, bahkan tidurmu tidak ubah seperti pengsan, bahkan kematian. Bangunlah, seka matamu. Pandanglah dunia baru ini. Bumi ini sudah tidak seperti dahulu. Manusia telah masuk ke alaf baru, bikinan alam yang sangat besar.

Segala benda sudah pandai bercakap tanpa lidah, menulis tanpa pena. Semua haiwan mula menjelajah ke seluruh pelosok dunia bahkan terbang menentang angin. 

Janganlah kamu bingung dengan apa yang didengar. Jangan pula terkedu dengan apa yang dilihat. Zaman ini zaman ilmu dan amal. Sesiapa yang berilmu lagi beramal, berkuasalah dia. Yang jahil dan malas pula hancur. Engkau mestilah berilmu dan beramal. Latih dirimu dengan kedua-duanya. Didiklah anakmu dengannya."(1)

Sungguh masa itu makhluk Tuhan yang sungguh setia dan cinta menjalani perintahNya. Ia berputar tanpa henti, detik demi detik. Antara sedar dan tidak, tinggal cuma beberapa ketika, kita akan menghabisi tahun 2012 Masihi, yang pasti perginya tidak kembali.

Pastinya 2012 bakal meninggalkan kita dengan pelbagai peristiwa, duka dan tawa, derita dan gembira. Amat malang bagi mereka yang tidak bermuhasabah dengan apa yang berlaku. Lihat sekeliling, mungkin ada banyak yang sudah berubah. Ada manusia yang dahulunya bersama kita, namun kini telah pulang kepada Yang Esa, ada manusia yang dahulunya dekat di hati kita, mungkin kini telah hilang kemana, mungkin dahulunya kita cuma anak-anak muda belia tidak punya apa, kini kita ditaklifi dengan ujian mahupun sandangan yang membentuk kehidupan. 

Biarlah apapun yang berubah, pokoknya kita cekal dan tabah, koreksi dan perbaiki diri. Kita tutup lompong-lompong kesilapan dan kekurangan, kita tambahi amal kebajikan dan bantuan, kita jalani hidup sebagai manusia yang dianugerahi akal dan pemikiran, garaplah sisi-sisi kelebihan dan keelokkan, yang boleh menjadi keberuntungan kita di masa hadapan, terutamanya ketika kita pulang kepadaNya; sebagai hamba yang berTuhan.

26. Katakanlah (Muhammad), "Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapapun yang kau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari sesiapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapapn yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan sesiapapun yang Engkau kehendaki. Di tangan  Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

27. Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Dan Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau berikan rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki tanpa perhitungan(2)


(1) Petikan Muqaddimah Al-Mannar (Syeikh Rashid Ridha), Kembara Seorang Reformis, Institut Kajian Dasar, 2004
(2) Al-Quran (Ali Imran : 26-27)


Bayt Arqam, Mutah, Jordan

No comments:

Post a Comment