Friday, January 4, 2013

Pesta Peperiksaan Di Tahun Baru

Bermula fatrah Peperiksaan Akhir Semester Awwal 2012/2013 buat saya. Dengan susunan matapelajaran yang pada awalnya saya merasakan sudah cukup baik dan cantik. Namun, entah bagaimana, di pertengahan jalan, rasanya semester ini amat-amat menguji dan mencabar. Entahlah mengapa. Ujian dan cubaan Allah, datang dalam pelbagai rupa dan wajah. Namun, saya akur, kita layak diuji, di mana sahaja, dugaan apapun sekali, sudah resmi hamba, ujian itu teman hidup yang tidak pernah berenggang dengan kita, melainkan kaki sudah menginjak taman syurgawi.

Dimulai dengan Fiqh Qadha`, diajari oleh seorang pensyarah hebat berjiwa sufi, Doktor Syuez, saya berkenalan dengan sang qadhi dan hakim. Indah aturan Islam, nilai keadilan jelas tersusun dan dinamika nya amat relevan sepanjang zaman. Islam mengajar kita untuk berpegang kepada prinsip asas yang menjadi teras kepada dunia kehakiman, iaitu keadilan. Firman Allah yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah (ketika) menjadi saksi yang adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah amat teliti apa yang kamu kerjakan. (1)

Kaitan adil dan taqwa menggambarkan hubungkait antara keadilan dengan keTuhanan. Barangsiapa yang percaya kepada Tuhan, seraya ahli yang tunduk dan patuh, semestinya meletakkan keadilan dalam apa-apa sahaja hal dan keadaan. Manakala, para qadhi dan hakim yang merobah keadilan akibat tekanan manusia, yang tiada lain hanyalah hamba meski bergelar penguasa, maka ia meruntuhkan benteng ketaqwaannya kepada Tuhannya. Indahnya Allah mengatur tatacara sesama hamba menyelesaikan segala permasalahan dan pertikaian, semuanya berpaksi keadilan, maka habuannya adalah keamanan, dan pastinya keredhaanNya.

Saya juga takjub, terpesona dan kagum dengan sinergi dan juhud ulama-ulama silam menjagai dan menghalusi sunnah nabi saw. Madah Takhrij Al-Hadith yang diajar oleh pensyarah yang pakar dan mahir dalam selok-belok ilmu hadith, Doktor Mashyur, membuktikan keupayaan ulama silam yang sungguh luar biasa dan teramat teliti dalam menyusun dan mengeluarkan hukum-hukum berkaitan hadith. Enam kaedah atau turuq untuk mentakhrij hadith yang tersedia dalam kitab-kitab yang dikarang mereka merupakan lambang cinta suci antara mereka dan pencinta sejati, junjungan agung Nabi S.A.W. Tariq awwal lafaz fi matan, tariq kalimah, tariq bab, tariqh sifat, tariq perawi teratas yang disusun dalam koleksi belasan jilid, puluhan kitab, ratusan bab, ribuan perkataan dan jutaan huruf membuktikan ketelitian ulama dalam menilai hukum sesuatu hadith, sama ada diterima atau ditolak, sah atau dhaif, hassan lighorihi atau lizatihi, munkar, maudhu` dan sebagainya. Sungguh, ketelitian ulama dalam menyingkap kisah dan sirah rijal dalam setiap peringkat sanad yang dinamakan sebagai ilmu jarah wa ta`dil, amat menakjubkan. Bayangkan, di zaman ketiadaan perkakasan sesawang dan internet, ketiadaan sistem komunikasi yang baik, ketiadaan kenderaan yang terbang di udara, namun ulama-ulama pada zaman tersebut sanggup bermusafir berbulan-bulan lamanya, hanya untuk mengambil dan mencedok sesuatu kalam nabi secara bersanad bagi mejamin keaslian, kesohehan dan keterjagaannya. Teringat kata-kata Ustaz Rais, pensyarah Ulum Hadith di KISDAR, "Andainya pada zaman tersebut keilmuan dinilai dengan Ph. D, semestinya Imam Bukhari memiliki ribuan Ph.D, dek kerana satu hadithnya sahaja memerlukan penelitian dan kajian yang maha dalam dan terperinci, ditambah dengan ketiadaan kemudahan seperti kini, tapi mampu menghimpun ribuan hadith, yang tidak dapat disangkal kredibiliti dan kesohehannya.

Masih segar ingatan terhadap Doktor Ro`ud, pensyarah Aqidah Dua bermazhab Asha`irah. Cerlang matanya pabila menitip ilmu ke dada saya. Tepukan spontan ke meja merupakan `trade mark`nya yang diketahui oleh kebanyakan pelajar di sini. Semester ini, saya bersamanya. Menyingkap dan menekuni aqidah terhadap keberadaan dan kewujudan nabi-nabi dan rasul-rasul, sirah dan sejarah mereka, sifat dan kaum yang diutuskan mereka, mehnah dan tribulasi yang dihadapi oleh para nabi dan rasul, serta indahnya kalam nabi Isa a.s terhadap kebenaran dan kemuliaan junjungan kita nabi saw, yang terakam dalam kalamullah :

Dan (ingatlah) ketika Isa putera Maryam berkata, " Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku utusan Allah kepadamu yang membenarkan kitab yang turun sebelumku. iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira tentang seorang rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)". (2)

Saya juga dihidang dengan kerukunan iman kepada kitab yang empat, serta malaikat. Namun, yang amat menyentuh jiwa dan hati, ialah penceritaan Doktor Ro`ud mengenai kematian, apabila memasuki bab keimanan kepada Hari Kiamat. Detik-detik kematian, takut yang bagaimanapun, resah yang tidak tertahanpun, sehebat mana usaha yang dilakukan untuk mengelakkannya pun, sedarlah insan, kita tidak terdaya mengelaknya. Larilah, hujung dunia, atas gunung yang maha, dasar laut yang terdalam, bahkan ke atas langit sekalipun, manusia akan mati, alam akan musnah, seksa kubur itu benar, himpunan mahsyar itu wujud, neraca timbangan itu bukan omongan, titian sirat itu tersurat, neraka dan syurga, bukanlah rekaan semata. Tampar dahi, cubit pipi, rasakanlah diri kita ini berdiri, kitalah yang akan melaluinya, bukan ibu bukan ayah, bukan isteri bukan suami, bukan sahabat bukan teman, tapi KITA. Kita yang akan menempuh saatnya kematian, saatnya penghisaban, saatnya meniti titian, dan tempat penamatnya, sama ada neraka penuh seksaan, atau syurga idaman. Pilihlah, kerna pilihan di tangan kalian.

Hukuman akhirat itu cerita manusia dan Tuhan, namun hukuman dunia juga jangan dilupakan. Subjek Fiqh Uqubat 2 sentiasa menyegarkan. Dengan ketangkasan dan keperkasaan tenaga ilmiah Doktor Hammad Azzam yang memukau para pelajar, seorang pensyarah yang tidak pernah duduk dalam kelas, amat bertenanga dan cergas, sehingga terkadang saya malu sendirian, siapakah yang pelajar? Sayakah atau Doktorkah? Kerana semangatnya memberitahu tentang ilmu, jauh lebih kuat dari semangat kami yang meminta ilmu. Dengan tunjuk ajarnya, saya dapat melihat sedikit sebanyak betapa sistematiknya Islam melaksanakan hukuman kepada si penjenayah. Pembunuhan secara sengaja, shibih sengaja, mahupun tersalah bunuh, dihurai dengan penuh teliti dan dalam. Sungguh, kepelbagaian pandangan mazhab, meropakan rahmat kepada alam. Bagaimana mazhab Hanafi menghukum, kadangkala berbeda dengan Mazhab Syafi`i. Di kelas ini, bagi saya bukanlah kepelbagaian itu hadaf utamanya. Saya cuba melihat dengan lebih dasar, bahawa kekuatan dalil dan alasan yang paling dekat dan hampir dengan sumber Quran dan Sunnah, Ijma` dan Qias, itulah pandangan yang paling akrab dengan ketepatan. Meski jenuh memerah otak, bekerja keras untuk menghafal khilaf para ulama, namun hasilnya cukup indah, pada memahami bahawa khilaf itu rahmat, dan menghalusi betapa terbukanya para ulama membahaskan sesuatu isu dan masalah.

Keempat-empat subjek ini perlu saya tempuhinya, bagi menyelesaikan semester ini. Cuma entah kenapa, saya khuatir. Risau jika tersungkur. Dengan jadual peperiksaan yang tidak berapa cantik, 3 Januari dimulai dengan Fiqh Qadha`, 6 Januari (Kahraba`), 9 Januari (Fiqh Uqubat 2 dan Takhrij Hadith), 10 Januari (Aqidah 2) dan 12 Januari (Riadhi). Kekhuatiran itu pada 9 dan 10 Januari. Masa sangat sempit. Ditambahi assignment Takhrij yang masih belum siap, masa seoalah amat menghimpit. Tapi, selagi ada waktu, selagi itu harapan belum berakhir. Mohon doanya, moga saya sukses dan dapat melepasi semuanya dengan baik.

Malu pada Ja`far At-Toyyar, kekhuatiran saya kerana peperiksaan, sedangkan mereka dahulu bermandi darah menentang musuh Allah, tanpa rasa gentar dan takut. Kami semedan, medan Mutah yang bersejarah, namun terasa jauhnya perbezaan kami. Gundah dengan ujian, sedangkan mereka hadapi dengan tenang dan yakin, sehinggalah syahid menjemput mereka berehat selamanya di sisi Tuhan.

Ya Allah, mudahkanlah saya dan teman-teman, tambahi ilmu kami, kuatkan tekad kami, motivasikan diri kami, lenyapkan dosa kami dan ibu bapa kami, dan pandulah hidup kami, jayakanlah kami, dunia dan akhirat. Ameen.


Arifi Putra,
Bayt Arqam, Mutah, Jordan

(1) Al Quran ( Al-Maidah 5 : 8)
(2) Al-Quran ( As-Saff 61 : 6)

1 comment: