Saturday, January 12, 2013

Rantau Orang

Peperiksaan masih berbaki. Lagi tiga mata pelajaran, dua daripadanya Insha Allah bakal berlaku pada 16 Januari, dan bakinya pada 17 Januari. Sepatutnya, ketiga-tiganya telah selesai saya hadapi pada 9 dan 10 Januari yang lalu. Tapi, takdir Allah ianya dibatalkan dalam ketebalan salji yang di luar jangkaan dan kesejukan yang bersangatan. Alhamdullillah, bagi mereka-mereka yang belum habis membacanya seperti saya. Dan mungkin ada yang merasa tidak enak, terutama para `khirijin` yang sudah terbayang-bayang wajah keluarga di mata. Apapun, takdir Allah pasti berhikmah.

KEJELIKKAN ARAB

Hari ini, meskipun hari masih sejuk, dek cairan salji yang masih belum kering sepenuhnya, hati saya sedikit `panas`. Silap, sebenarnya sudah lama panas. Panas dengan perangai yang entah diwarisi dari siapa oleh sesetengah bangsa arab di sini. 

Saya bersama seorang teman menghadapi sebuah peperiksaan hari ini. Pulang dari universiti sore tadi, kami dibaling ketulan sisa-sisa salji yang berbaki. Besar dan padat. Hinggap di batang tubuh kami, yang tidak ber`dosa` dengan mereka. Entah apa kenanya, perangai mereka tadi mengalahkan budak-budak tadika di Malaysia. Awalnya saya sedaya-upaya bersangka baik, mungkin mereka mahu bermain dan bergurau dengan kami. Namun, hati tetap mendidih. Bayangkanlah, membaling salji yang padat dan besar, dengan sepenuh tenaga dan tekad, tepat mengenai kami. Dituju ke badan malahan kepala, permainan dan senda gurau apakah itu?!!!

BUKAN KALI PERTAMA

Saya bukan kali pertama mengalaminya. Bahkan bukan orang pertama yang merasainya. Acapkali kami pelajar Malaysia di sini, dilayani dengan tidak seadanya. 

Ramadhan lepas, seorang sahabat dibaling dengan tomato segar. Lepukkkk, tepat mengenai kepala. Kepalanya merah, jubah putih yang dipakainya seperti bermandi darah. Cuma arab yang membaling tomato pada hari tersebut bernasib baik. Sahabat saya itu persis Yusuf a.s dalam kesabarannya. Beliau mendoakan kebaikan semata, di atas kejahatan arab tersebut.

Namun tidak pada satu hari, juga berlaku dalam bulan Ramadhan lepas, juga di tempat dan cara yang sama,  seorang lagi sahabat yang `kecil` badannya, menumbuk seorang arab yang ter`silap` gurau dengan orang yang silap. Sahabat saya pergi ke arahnya, lantas berdesup penumbuk sulung. Kecil-kecil cili padi, jangan bermain dengan api!!

Ramadhan lepas juga, seorang siswi di sini, mengalami pengalaman yang pedih. Tidak mahu menyingkap, bahkan saya juga tidak berada di tempat kejadian. Cuma yang diketahui, arab tersebut salah mencari lawan. Mereka sentuh seorang siswi kami, sebatolian `Malizi` akan mencari, walau sampai ke lubang cacing. Kes tersebut sudah selesai dengan laporan dan tindakan polis tempatan, sesudah di`ajar` dan di`lanyak` oleh pendekar-pendekar Malizi di sini.

Banyak lagi peristiwa dukacita kami anak rantauan di sini. Hairan, mereka daripada bangsa Nabi s.a.w. Namun, sikap dan akhlak amat memalukan. Opss lupa, Abu Jahal juga berbangsa arab, malahan saja tempat tinggalnya di Makkah. Makkah mulia, dia yang hina dek kekufurannya.

RESMI ORANG RANTAU

Itulah hakikat yang pahit ditelan. Duduk di rantau, adatlah menghadapi kesusahan. 

Post ini pun bukannya sebagai tanda putus asa, cuma meluah rasa. Keterbukuan dengan kejelikkan arab, terkadang menghilangkan mood dan merosak suasana. 

JANGAN KITA PUN BEGITU

Negara kita dibanjiri oleh ramai orang dagang. Sama ada datang sebagai pelancong, urusan perniagaan, pelajar, mahupun pekerja. Usahlah kita meniru perangai Arab. Me`nganjing` pekerja-pekerja khususnya daripada negara-negara jiran, bukanlah akhlak yang diajar oleh Islam. Teringat beberapa kes pembantu rumah yang diperkosa, diseksa dan dinafikan hak sewajarnya bagi mereka, adalah cerminan miskinnya akhlak, faqirnya adab. 

JANGAN JADI SEPERTI SESETENGAH ARAB

Fahamilah kisah ini, teladan mulia Nabi Ibrahim A.S. dan malaikat.

"Sudah sampai kepadamu (Muhammad) cerita tetamu Ibrahim (yang berupa malaikat-malaikat) yang dimuliakan?

(Ingatlah) ketika mereka masuk ke tempatnya lalu mengucapkan salam, Ibrahim menjawab salam. (Padahal mereka itu) orang-orang yang belum dikenalinya.

Maka diam-diam dia (Ibrahim) menemui keluarganya, kemudian dibawanya daging anak sapi gemuk (yang dibakar." (1)

Islam tidak pernah mengajar penganutnya begitu, malah kita diajar dan diseru untuk menyantuni tetamu. Bukankah orang asing yang bertamu ke negara kita itu adalah tetamu? Datang sebagai dagang, apatah lagi bagi si penuntut ilmu dan mencari sesuap rezeki, niat mereka baik dan mulia. Maka santunilah mereka, hormatilah mereka. Tidak kiralah apapun tujuan mereka datang bertamu di negara kita, asalkan bukan bertujuan yang jahat-jahat. Jangan jadi seperti sesetengah arab di sini!!

BUKANLAH SEMUA

Bak kata sesetengah sahabat di Mesir, anda boleh bertemu dengan manusia sebaik-baik nabi Musa a.s, malah bisa jugak bertemu dengan manusia sejahat-jahat Firaun di sana. Masih ada bangsa arab berakhlak Nabi SAW di sini, di Mutah ini. Mencintai keindahan, keluhuran dan ketertiban adab. Lihat sahajalah ulama-ulama terkemuka dari bangsa ini. Mereka amat mencintai akhlak yang mulia. Masih ada jiran-jiran arab yang prihatin dan ehsan. Tidak wajarlah kita menghakimi kesemua mereka sama. Masih ada yang mulia, masih ada yang ehsan dan peduli pada kami, tetamu Dataran Sham ini.

Dan paling penting, Allah bersama kami, bukan sahaja di Mutah ini, malah bersama dengan anda, di mana saja anda berada. Moga Dia melindungi kita, dari segala musibah dan bahaya.




(1) Al-Quran ( Azzariyat 51 : 24-27 )



Arifi Putra,
Bayt Arqam, Mutah, Jordan.



No comments:

Post a Comment