Saya bukanlah kawan rapat beliau.
Saya juga bukanlah kenalan yang selalu bersama beliau.
Saya juga bukanlah sahabat yang selayaknya sebagai sahabat beliau.
Saya hanyalah teman seuniversiti dengan beliau, teman seperjuangan dalam bidang akademik.
Tapi, entah mengapa tiba-tiba sore ini saya terkenang. Teringat senyumannya, tawa gelaknya, ceria wajahnya. Sungguh, saya tidaklah banyak kenangan dengan beliau. Sekadar mengetahui namanya, mengetahui asal-usulnya, dari mana, dulu sekolah mana, belajar dari kolej mana. Ye, taaruf yang biasa. Buat kami anak perantauan, amat aib andai tidak mengenal teman seperjuangan. Tiada yang istimewa. Tapi sungguh, meski kurang mengenalinya, tapi saya tetap tahu sikapnya.
Semuanya baik-baik.
Paling tidak dilupai, senyumannya, ramahnya, dan ringan tulangnya membantu teman-teman. Saya mempunyai kenangan terakhir bersamanya.
1 RAMADHAN 1433 HIJRAH
Tarawikh pertama kami di perantauan. Saya sibuk bermesyuarat, lantikan sebagai Bendahari Program Ihya` Ramadhan (ROY) PERMATA pada tahun lepas, menemukan saya dan beliau, dalam suasana kerja. Beliau Ketua Unit Persegaran, memang banyak kaitannya dengan saya, selaku Bendahari.
Bajet perbelanjaan bagi makanan, semuanya disusun kami, dengan bantuan timbalan masing-masing. Malam itu, Tarawikh pertama kami di sini. Tapi sayang, saya tidak dapat berjemaah di Masjid Shuhada`, kerana kekangan mesyuarat tergempar antara kami. Saya, beliau, Ustaz Anas Mokhtar (Pengarah ROY ketika itu), serta dua orang akhowat (pimpinan PERMATA) duduk bermesyuarat. Kewangan menghimpit. Sesuatu keputusan segera dan WAJIB tepat perlu kami bincangkan. Kasihan kepada sahabat lain, risau andai berbuka puasa dalam program kami, hanya dihidang dengan tamar dan air.
Bincang sehinggalah kedengaran azan Isya`, kami belum siap. Belum habis berbincang. Saya bisikkan ke telinga beliau, aduhh, ruginya, terlepas tarawikh pertama. Beliau senyum, dan kembali membisik, tidak mengapa, tarawikh kita diganti dengan bakti kepada ummat.
Usai mesyuarat, kami memutuskan untuk berjemaah di PUSKMA. Masing-masing berpandangan sesama sendiri, tolak-menolak. Ustaz Anas yang merupakan pelajar tahfiz, selayaknya memangku tanggungjawab imam. Usai Isya`, ustaz Anas pandang ke belakang, katanya "Angpa teruskan la tarawikh, ana ada masyaqqah lain, kena balik".
Setelah diisyaratkan oleh beliau, saya naik menggantikan ustaz Anas. Tarawikh yang ringkas, surah yang ringan. Bagi mengambil ke`berkat`an tarawikh pertama di bumi suci ini, rugi rasanya tidak berjemaah. Beliau menjadi makmum, sekaligus bilal. Tiap usai dua rakaat, terbitlah selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda SAW dari bibir beliau. Kami teruskan, segugus doa dihamparkan. Alhamdullilah, usai hingga witir.
24 RAMADHAN 1434 HIJRAH
Saya amat gembira pada hari tersebut. Enam hari menjelang raya, saya kembali ke pangkuan keluarga tercinta. Terbayang lambaian mama, tidak sabar dengan panggilan abah. Bergerak menuju rumah teman, Bayt Faizin, kerana kami semua pulang, dan telah berjanji untuk bertolak bersama dari Mutah ke Queen Alia International Airport (QAIA). Beliau juga ada, bersama beberapa teman dari UNISZA. Khalil, Hanif, Syafiq dan beliau.
Kami bersalaman, berpelukkan. Tiba saatnya saya bersalam dan memeluk beliau, beliau berbisik, "Putra, selamat jalan. Elok-elok di Malaysia nanti". Saya membalas, "Insha Allah, ang pun sama, Insha Allah kita jumpa lagi".
Tiba-tiba, pelukkan semakin erat, beliau menambah, "Maafkan aku ye, salah silap aku, halal makan minum aku. Kot-kot dalam kerja ritu aku ada terlebih kurang, maaf sangat-sangat ye. Mana tau kot-kot tak dapat jumpa dah lepas ni".
Saya kehairanan dengan ayat akhir, lantas membalas, "Isyhh, apa la ang cakap macam ni, Insha Allah kita jumpa lagi nanti. Aku pun mintak maaf, zahir batin. Insha Allah nanti aku bawakkan kuih raya untuk kome semua".
Kami saling melambai. Berpisah. Van Abu Muhammad meluncur, membelah `lebuhraya` menuju QAIA.
Lewat malam 10 SEPTEMBER 2013
Membuka laptop, saya ada inbox sms di facebook.
"Oyak Kayo dah xde, meninggal dalam kemalangan dekat-dekat Qatraneh"
Saya terkedu.
Tergamam.
Terkaku.
Pagi tersebut, saya kehilangan `mood`. Semuanya tawar. Innalillah wa inna ilaihi raji`un.
Atas nama Allah, kita bertemu, atas nama Allah juga, kita dipisahkan di dunia.
Semoga tenang teman, di dalam kasihNya yang penuh hebat. Daku percaya, darah merah yang masih membasahi tatkala kau dipanggil pulang, adalah bukti shahidnya dirimu dalam permusafiran menuntut ilmuNya, dan wangian yang menemanimu pulang, adalah bau sorga, tempat kau Insha Allah, kini di sana.
Al-Fatihah
Arifi Putra,
Bayt Arqam, Mutah, Jordan
No comments:
Post a Comment