Thursday, January 10, 2013

Salji dan Tangga-tangga Cinta

Salji datang lagi. Lebih lebat, lebih tebal dari tahun-tahun lepas. Ada seorang senior memberitahu, sepanjang keberadaannya di Mutah selama empat tahun, salji kali inilah yang paling menebal, paling lebat. Sungguh, saya yang pertama kalinya merasai salji secara langsung pada tahun lepas, mengakuinya. Sebagai natijah kepada kesejukan yang bukan biasa-biasa, dalam menorobos tulang hitam, meski pemanas dipasang, selimut 10kg sebanyak dua buah menyelubungi diri ini, tapi masih terasa sejuk, terasa `beku`, melebihi tahun lepas.

Sangat Seronok

Yang paling gembira, sudah semestinya sahabat-sahabat tahun satu. Mereka riang menanti salji tiba. Pelbagai kelengkapan dibeli, mengikut kadar belanja masing-masing. Baju setebal seinci, lengkap dengan mafla, `snowcap`, sarung tangan dan but salji, inilah masanya `melaram` dan menggunakannya. Tepatnya, itulah keperluan. Sejuk di Cameroon Highland, tidaklah samanya dengan sejuk di sini. Sejuk di sini, boleh membawa mati. Sama ada mati kebekuan, atau mati akibat penggunaan pemanas dan gas. 

Namun, apabila sudah sampai ke tahun dua pengajian di sini, saya kurang bernafsu untuk bermain salji. Hanya terperap dalam bilik, ditemani selimut dan buku-buku, yang sejuk umpama ais ketul. Rasa `excited` yang dialami dulu, sudah tiada lagi kini. Mungkin kerana saya sudah menikmatinya dahulu, atau mungkin kerana saya sudah merasai `kesakitannya` bermain salji, tangan pedih kaki mengeras, atau mungkin saja kerana sebab-sebab yang lain.

Salji Yang Mencair

Hari ini salji masih menebal. Tiada tanda-tanda untuk cair lagi. Keras membeku sehingga kadangkala membawa kita menjadi kaku.

Namun, percayalah, ia tidak berkekalan. Boleh jadi esok ia mencair. Boleh jadi lusa, tulat atau minggu depan. Belum pernah dalam sejarah Jordan, salji membeku sepanjang tahun. Kerana Jordan merupakan salah satu negara yang mengalami empat musim, maka salji sepanjang tahun adalah mustahil.

Kaitan Salji dan Cinta Manusiawi

Ramai manusia mengaitkan cinta dan salji. Kata sang kekasih, "Cintaku umpama salju, putih dan suci", kata sang pencinta "Cintaku semurni salji, suci dan mendamaikan", kata anak-anak muda, "Kesucian cintaku umpama warna salji, putih dan suci". Apakah cinta manusiawi itu umpama salji?

Jawapannya ya. Namun, saya melihat dalam dimensi yang berbeda. Cinta manusia itu umpama salji, yang boleh jadi melebat, menebal setelah ditambahi pelbagai rasa dan duga. Namun, ingatlah, salji tidak melebat selamanya, tidak menebal selamanya. Sampai masa, salji pasti cair, pasti berubah menjadi air, pasti terkondisasi, lantas hilang apabila musim panas mengganti. Itulah cinta manusia, ia boleh mengurang, mencair, bahkan bisa saja hilang, terus tiada.

Silap kita dalam mencintai manusia, apabila meletakkan manusia itu melebihi segalanya. Kita ada tangga-tangga cinta, ada tingkatan-tingkatannya.

TANGGA YANG PALING ATAS

Perlu manusia daki dan hampiri, ialah cinta kepada Illahi. Allah adalah Tuhan sekalian jiwa, harapan sekalian nyawa, tempat kembali sekalian jasad. MencintaiNya wajib, melainkan anda hilang rasa kehambaan. Cinta inilah yang memberikan kedamaian yang berkekalan, tidak palsu, tidak sementara. Sungguh, namanya ArRahim. Kasih sayang makhluk, tidak sesempurna kasih sayangNya. Bahkan, kasihnya dekat, melebihi dekatnya urat leher kita sendiri.

"Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya"(1)

TANGGA KEDUA

Perlu manusia capai dan gapai, ialah cinta kepada Nabi saw. Tanpanya, siapalah kita, manusia yang tidak mengenal Tuhan. Nabi saw menunujuk jalan, memandu kehidupan, memacu ummah bagaimana mahu sampai kepada Tuhan. Sikap dan akhlaknya, yang sering mendahului ummatnya melebihi dirinya, adalah hasil kasih yang sejati. Mana ada lagi manusia selainnya mahu menanggung kesakitan azab seluruh ummat kepada dirinya, melainkan Baginda saw yang mulia. Itulah kasih sejati, kasih yang melebihi kasih selautan manusia, segurunan makhluk. Malah, kasihnya bukan terhenti kepada manusia yang merupakan ummatnya, kasihnya juga sampai kepada sekalian musuhnya. Lihat saja bagaimana Baginda saw memaafi kejahatan kuffar Makkah yang membuangnya, malah menerima mereka atas nama syahadah pada peristiwa Fathul Makkah yang bersejarah. Mereka menzaliminya. Memulaukannya, menghina, membaling, menjerkah, menggertak, menyakiti, cubaan membunuh, malah pernah berperang memeranginya. Semua dimaafkan, diberi sinar di hujung jalan, malah diberi ruang menjadi mulia, dengan memasuki dan mematuhi ajarannya.

"Dan apabila telah datang pertolongan dan kemenangan. Maka engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke agama Allah"(2)

TANGGA KETIGA

Manusia tidak lahir dengan sendirinya. Manusia lahir dan dibesarkan oleh belaian lembut sang ibu, dan penjagaan rapi sang ayah. Kedua insan inilah yang membawa anda menghirup kedamaian alam, menghidu keharuman bunga dan melihat keindahan mentari, bahkan merasai nikmat bermain salji. Cinta pada mereka adalah wajib, tanpa peduli siapapun mereka. Kerana, tanpa kasih mereka, kita gagal hidup, malah tidak akan hidup, bahkan tidak akan mampu berada di mana yang kita berada sekarang. Malahan, tanpa mereka yang membiarkan kita hidup dan `mencari` Tuhan, kita tidak akan berpeluang mengecapi nikmatnya sorga, kerana sorga hanya untuk mereka yang pernah hidup, dan pernah dibentuk serta melepasi ujian dunia. Cinta pada mereka membutuhkan bukti. Ketaatan, malah ia terakam dalam Al-Quran.

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya (menyusukannya) dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kedua-dua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu" (3)

TANGGA SETERUSNYA

Cinta sesama manusia. Saya belum bisa menjelaskannya, belum berani. Kerana masih kurang tahu dan kurang faham, bagaimana urusan sesama manusia berjalan baik atas prinsipnya. Cuma, saya yakin, keikhlasan hati itulah kunci cinta sesama manusia, suami/isteri, tunangan, sahabat dan teman, pekerja dan majikan, malah sesiapapun.

CINTA ALLAH VS CINTA MANUSIA, SEPERTI SALJIKAH?

Andai anda melihat salji dengan dimensi yang sama seperti saya, iaitu salji akan mencair, terkondensasi dan hilang, maka jawapannya, cinta Allah bukanlah seperti salji, dan cinta manusia itulah seperti salji, boleh jadi datang dan boleh jadi hilang. Cinta Allah berpanjangan, tiada penghujung, malahan saja mereka yang kafir tetap dikurnia rezeki, apatah lagi kita yang mengakui kewujudan dan keesaanNya. Berbeda dengan manusia, selalunya mereka hanya mencinta dan dicinta ketika gagah dan kepahlawanan, hebat dan tinggi kedudukan, sihat dan cantik wajah, malah kaya dan tidak miskin kehidupan. Mungkin di bibir bukan itulah permintaan, tetapi akuilah di dalam hati, bahawa cinta manusia paling ikhlas pun, tetap akan hilang andai ujian demi ujian mendatang, mengekang, lantas hilang tautan, pautan. Sekali bah, sekali pantai berubah.

Namun, cinta Dia Yang Khalik, kekal, tidak pernah putus dan hilang. Anda kurang percaya? Rasaikanlah sendiri. CintaNya cukup, dan mencukupkan. CintaNya bisa menyelesaikan segala, tawakkal kepadaNya tidak kecewa, malah, urusan kita yang diuruskanNya, tidak akan gagal.

Cintailah Dia, kita akan merasa lengkap,
Cintailah Dia, kita bisa terbang,
Cintailah Dia, kita akan mendapat apa yang dihajati,
Meski kadangkala bukan dalam wajah yang kita kehendaki,
Tapi itulah Dia,
Yang tidak memberi apa yang kita sangka hebat,
Tidak memberi apa yang kita mahukan cepat,
Kerana pemberianNya datang pada waktu dan sesuatu yang TEPAT,
Buat kita.

Sudah tidak boleh menulis, tangan kebekuan dek sejuk. Allah, mudahkan urusan saya, dan teman-teman. Sihatkan tubuh badan kami, dan mudahkan kami menghadapi peperiksaan akhir, dalam keputihan salji !





Salji dari hadapan rumah saya, Bayt Arqam.



(1) Al-Quran (Surah Qaf 50 : 16)
(2) Al-Quran (Surah Luqman 31 : 14)
(3) Al-Quran (Surah An-Nasr 110 : 1-3)

Arifi Putra,
Bayt Arqam, Mutah, Jordan



1 comment:

  1. mantap la.. terbaik. blog pun dah makin kemas, mesra pembaca :)

    ReplyDelete