Sunday, December 30, 2018

Sederhana Memberi Bahagia

Apakah yang dimaksudkan dengan sederhana? Sederhana itu tidak lebih dan tidak kurang. Sederhana itu adalah bersikap pertengahan, sedang serta tidak condong kepada tinggi mahupun rendah.

Jika kita analogikan sederhana dengan fizikal manusia, maka kita dapatlah menyebut bahawa dalam mata pandang masyarakat kita, seseorang yang dikatakan memiliki fizikal yang sederhana itu ialah mereka yang bersosok tidak terlalu tinggi, tidak terlalu rendah, tidak terlalu gemuk, tidak terlalu kurus, tidak terlalu gelap dan tidak terlalu cerah, tidak terlalu kacak, dan tidak terlalu hodoh. Maka, kita dapat rumuskan mereka yang sebegini dengan takrifan sedap mata memandang, tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergaul dalam masyarakat kerana fizikal yang sederhana.

Begitulah juga jika kita membawa pendekatan yang sederhana dalam meneladeni kehidupan ini. Ada manusia yang marahnya lekas, ada manusia yang pemaafnya terlampau, ada manusia yang dengkinya tersangat, ada manusia yang pasrahnya mudah, ada manusia yang cakapnya tinggi, ada manusia yang sampai menghinakan diri, ada manusia yang kedekutnya tebal, ada manusia yang pemurahnya tak bertempat, ada manusia yang risaunya terlampau, ada manusia yang yakinnya terlalu, ada manusia yang ramahnya mengganggu, ada manusia yang diam pada bukan tempatnya.

Adakah sikap-sikap sebegitu adalah bagus untuk kita mencapai maksud ketenangan dalam hidup? Percayalah, jika kehidupan diteruskan dalam keadaan manusia condong untuk bersikap lebih-lebih dalam sesuatu perkara, maka ketenangan yang dimahukan dalam kehidupan tak akan kunjung tiba. Meskipun lebih-lebih itu dalam hal yang nampak seperti tidak akan mengganggu sesiapa, seperti bersikap berlebihan menghina diri, pemurah yang bukan pada tempatnya, pemaaf yang sampai dipijak kepala. Bayangkan, betapa sengsaranya batin manusia yang bersikap begitu, disimpan dan dipendam, akhirnya meletus tak tentu bila ibarat sebuah bom yang tidak terjangka.

Justeru, dengan mengamalkan sikap sederhana dalam kehidupan, warna-warna indah dalamnya akan kelihatan. Sederhana itu memberi ketenteraman dalaman kepada pengamalnya. Hidup tidak berada dalam tekanan, malah mungkin dengan mengamalkan sikap serba sederhana, kita boleh memulihkan hubungan dengan manusia, malah terlebih utama, kita boleh memulihkan hubungan dengan Allah selaku hamba kepadaNya.

Hanya satu perkara sahaja yang kita tidak boleh besederhana. Perkara tersebut adalah perlumbaan mengejar akhirat. Misalnya, kerana besederhana dengan waktu, maka kita lengahkan solat dengan sengaja, kerana besederhana dengan duit, kita liat membayar zakat dan menyimpan duit untuk menunaikan haji. Selayaknya urusan akhirat, kita perlu bersikap condong dan tamak. Condong untuk melakukan kebaikan sepertimana yang dituntut dalam agama.

Ingatlah, sederhana terhadap dunia akan memberi ketenangan jiwa, tamak terhadap akhirat akan memberi ketaatan jiwa. Apalah guna berjiwa, jika tidak taat kepada Allah Yang Maha Esa!

Saturday, December 8, 2018

Perbetulkan Niat


Niat laksana isi dalam buah. Lihat durian, fizikal luarnya nampak gagah, sukar ditembus. Kita memerlukan alatan tajam untuk membuka kulit durian, sebelum merasai lazat isinya. Kadangkala, penat kita membelah isi, sehingga luka jari, sakit lengan dan otot, tetapi isi yang kita dapat keras, tawar ataupun mentah. Akan tetapi, adakalanya kita bertemu dengan durian yang telah dirobek sang tupai, kita geli hendak memakan, tidak mahu membelah dan adakalanya kita biarkan sahaja durian itu membusuk. Tetapi, bagi penggemar durian, mereka akan membelah durian yang telah dirobek, kerana meskipun buruk rupanya, namun isi durian yang telah dirobek, jarang-jarang mengecewakan, kerana bukankah tupai itu penilai durian yang baik?
                Begitulah niat, kadangkala terzahir di fizikal perbuatan yang nampak mukhlis, berniat baik. Namun di hatinya hanya Allah yang tahu apa niat yang tersembunyi. Contoh, seorang taulan yang kita tahu tidak menyukai kita, tiba-tiba menghulur bantuan penuh kasih, tetapi kita curigai ketulusannya melakukan hal tersebut. Tetapi, adakalanya kita melihat perilaku yang zalim, tetapi kerana ketulusan hati, Allah menilainya sebagai golongan yang memperolehi martabat mukhlisin. Seperti kelihatan zalim sang ayah yang merotan anak akibat tidak solat setelah menjengah umur 9 tahun, namun niat sang ayah merotan semata-mata mahu mendidik anaknya menjadi hamba yang bertakwa, tunduk pada Allah dengan melaksanakan solat yang diperintahkanNya.
                Susah mahu menilai keikhlasan. Insan tidak mungkin mampu untuk menilai keikhlasan insan lain. Hal ini adalah kerana insan tidak mempunyai kelebihan membaca hati insan yang lain. Pencarian makhluk bernama ikhlas dalam diri insan yang lain umpama mencari semut hitam, yang berada pada waktu malam di atas batu yang gelap. Mustahil untuk mengetahuinya. Jika kita mencari teman dan rakan, ataupun pendamping hidup, dengan meletakkan syarat ikhlas sebagai kriteria utama, maka ketahuilah, kita hanya mencari benda yang tiada. Kerana hukum alam menetapkan, sesuatu yang tidak nampak itu, seakan-akan tiada.
                Lihatlah ajaran agama, kita tidak disuruh menghukum. Jangan kata orang lain tidak ikhlas, jangan tuduh orang lain sebagai teruk atau jahat. Kerana pelbagai peristiwa yang berlaku atas muka bumi ini, tidak dapat diadili daripada satu sudut pandang atau dimensi semata-mata. Ada insan kita nampak perbuatannya jahat di sisi pandang kita, tapi di sisi pandang lain mungkin ada insan mengaggap perbuatannya sebagai wira. Begitu juga bila membicarakan tentang hati yang ikhlas. Agama tidak menyuruh kita sibuk mencari keikhlasan dalam hati insan lain, bahkan agama mendidik kita agar menjaga keikhlasan hati masing-masing. Jangan hirau tentang keadaan hati orang lain, sebaliknya kita yang bertanggungjawab tentang keikhlasan hati kita ketika melakukan sesuatu hal atau perkara.
                Didiklah hati untuk ikhlas. Ikhlas tidak dapat dengan hanya berteori semata-mata. Mungkin penutur yang mengajar tentang bab ikhlas, mahupun penulis yang menulis tentang kepentingan ikhlas, bahkan mungkin si penasihat yang menasihati agar ikhlaslah dalam perbuatan, boleh jadi sahaja tidak ikhlas. Ikhlas adalah ketulenan, kejernihan dan kepatuhan kepada syara` saaat melakukan sesuatu hal atau perkara. Ada insan, mendidik dirinya dengan ikhlas, dengan jalan melakukan pekerjaan kasar, seperti membersihkan tandas, mengutip sampah di jalanan, kerana kelihatan hina dan kotor di mata manusia, tetapi mungkin ikhlas tangan yang membersihkan tandas dan sampah di jalanan itu, lebih wangi perilakunya di sisi Allah berbanding sang kaya yang menghulurkan sumbangan puluhan juta, di hadapan lensa dan kamera, walhal pada ketika itu, riya` telah bersarang di dada, dengan angkuh dan sombongnya memberitahu pada dunia, lihatlah derma ikhlas saya bernilai jutaan ringgit dengan katanya : aku ada, kau ada?

Tuesday, December 4, 2018

Hakikat Hidup


Kehidupan menawarkan kebebasan kepada insan untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki selagi nyawa dikandung badan. Bermula alam ruhnya dengan mengakui Allah sebagai Tuhannya. Ditiupkanlah ia ke rahim ibunda, tempat yang utuh sukar binasa. Makanlah ia apa sahaja yang dimakan ibunda, dibelai dan dijaga dengan kasih tiada hujungnya, itulah namanya alam rahim. Setelah cukup usia ia dikandung, maka lahirlah ia ke muka dunia. Biasa disambut gegak gempita. Tersenyum lebar sang ayah, menangis gembira si ibunda, pemata hati telah lahir ke dunia. Saat inilah hidup insan di alam dunia bermula. Meniarap, merangkak, bertatih, berjalan, lantas berlari kemudian putaran alam itu kembali. Berjalan, bertatih, merangkak, kemudian meniarap, dan sampai seruan, maka baringlah insan di kuburnya, untuk memulai tingkat hidup seterusnya iaitu alam kubur. 

Datanglah malaikat, bertanyakan siapa Tuhanmu? Siapa nabimu? Apa agamamu? Ke mana kiblatmu? Apakah peganganmu? Siapakah saudaramu? Satu-satunya soalan yang telah dibocor dan disertakan jawapannya namun tidak semua mampu menjawab, lantaran jawapan tidak seiring amalnya. Dan peringkat akhir, setelah kiamat berlaku, makan sampailah insan ke alam akhir iaitu alam akhirat. Alam yang abadi, kekal tiada hujung. Saat perhitungan dan timbangan dilaksanakan, syurga dan neraka diperlihatkan, berbahagialah sang ashabul yamin, menerima buku catatatan amal dengan tangan kanan, terbuka luas syurga indah nan luas. Sengsaralah ashabul shimal, menerima buku catatan amal dengan tangan kiri, terpampanglah neraka tempat azab yang pedih lagi menyakitkan.

Lihatlah kehidupan dunia, ada insan menggunakan seluruh hidupnya untuk mengumpul kekayaan. Diceburinya pelbagai bidang perniagaan, bermula daripada merangkak, kemudian berjalan, lantas berlari akhirnya sampailah insan tersebut ke puncak kekayaan. Kaya dengan wang, rumahnya besar, makannya enak, celananya gah, busananya meriah, makan dengan wang, berehat masuk wang, malah tidur sahaja pun di atas wang. Namun, selalu hatinya gusar, takut wangnya berkurang, risau dirinya diapa-apakan orang lantaran mewah dengan segala apa sahaja yang ada di dunia. Tidak keruan kadangkala, tidur dengan katil yang bertakhta berlian, namun nyenyak tidur tidak lagi menemani lena. Makan berhidang dengan juadah yang lazat dan banyak, namun lidah merasai pahit dan selera tidak terbuka. Alangkah ajaibnya hidup, kadangkala, tidur si miskin beralas tikar mahupun  lantai, lebih lena dan nyenyak daripada sang kaya di atas segala kemewahannya. Makan si miskin tidak berlauk banyak, mungkin lebih enak dan membuka selera berbanding sang kaya atas segala kemampuannya. 

Lantas, bagaimana mahu dicorak hidup ini?