Kesempitan hidup adalah realiti kehidupan yang tidak mampu dipinggirkan selagi mana kita memegang title HAMBA kepada Tuhan. Jika diperhati daripada sudut pandangan kejahilan, sudah pasti kita akan merumuskan bahawa kesempitan hidup adalah suatu penyeksaan yang tidak bertepian. Golongan yang berfikiran sebegini menganggap kesempitan hidup adalah tidak berpadanan dengan konsep wujudnya Tuhan. Malah golongan ini begitu lantang memperkatakan sekiranya Tuhan itu wujud, mana mungkin berlaku kesusahan di muka bumi ini. Wah, begitu enak sekali mereka berkata-kata dan menulis perkara tersebut, sedangkan mereka lupa perkataan yang mereka lontarkan dan tulisan yang mereka nukilkan itu, kesemuanya terkandung di dalamnya nikmat Tuhan Yang Maha Hebat, iaitu, nikmat kurniaan mulut yang mampu berkata-kata dan nikmat kurniaan sepasang tangan yang mampu menukil apa saja. Malah, nikmat ini diperlengkapi dengan kebijaksaan akal yang telah disalahgunakan mereka untuk mencerca Pemberinya.
Namun, bagi mereka yang berfikir daripada sudut pandangan keimanan, pasti akan menyebarkan ke seluruh alam bahawa semua ujian ini masih tidak berpadanan dengan segala kurniaan Tuhan kepada manusia. Ya, begitu banyaknya kurniaan Tuhan kepada kita, namun kita masih mahu menilai ujian maha kecil yang dihamparkan Tuhan,malah ianya bukan datang dengan pandangan kebencian daripada Tuhan, bahkan ianya adalah bagi memberi ruang kepada kita mempertingkatkan keimanan. Cuba perhatikan sekeliling kita, bukankah terdapat begitu banyak nikmatNya yang tidak terhingga. Perhatikan awan, bagaimana kalau kita kehilangannya? Perhatikan laut, apa kan jadi seandainya ia dikeringkan? Perhatikan mentari, cuba kita bayangkan kalau ia lenyap buat selama-lamanya. Lihatlah pekatnya malam, apa akan berlaku kiranya malam itu tidak lagi bertandang. Cuba hitung isipadu hujan, pastinya hidupan akan menjadi suatu mitos yang penuh penyesalan kiranya nikmat hujan ditarik semula Pemberinya. Cuba kita lihat pada diri, jika kehilangan akal ditarik Pemiliknya, maka berubahlah status kita dari taraf kemanusiaan kepada taraf kebinatangan. Jika ditarik nikmat penglihatan, pastilah kelam rasanya sebuah penghidupan. Jika diberi jasad yang tidak cukup kesempurnaan, pastilah hidup merana menanti kematian. Namun kejadian Tuhan amatlah adil kerana Dia Tuhan Maha Adil. Kadang-kadang diciptakannya kecatatan, tapi diganti dengan terangnya hati, murahnya rezeki. Jadi pada yang dilahirkan sempurna serba-serbi, janganlah mencabut keimanan dengan begitu rakus di saat menjelangnya musim uji-ujian. Ambillah waktu menjernihkan fikiran, maka renungilah kalam Tuhan dalam surah Ar-Rahman:
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
Tuhan tidak akan membiarkan dugaan kepada hamba-hambanya berakhir dengan sia-sia. Malah Dia Yang Maha Pengasih juga telah menyediakan tonik paling mujarab, malah tidak akan mampu ditandingi oleh mana-mana kaedah yang diciptakan oleh orang bijak pandai bagi menghadapi kesempitan hidup. Sekiranya kita sebagai HAMBA yang maha lemah dengan penuh yakin mengikuti telunjukNya, pasti yang berada di hadapan kita hanyalah kebahagiaan yang tidak bertepian. Tonik itu adalah seperti yang dinukilkan olehNya dalam kitab Al-Quran surah At-Thalaaq ayat 2 dan 3(ayat Seribu Dinar):
Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah Telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.
Ya sahabat-sahabat sekalian, toniknya adalah doble T. Takwa + Tawakkal. Namun harus diingat, takwa yang sejati bukan hanya sekadar mematuhi syariatullah, bahkan kita juga perlu akur dengan sunnatullah. Jika tidak, takwa yang diimpikan tempanglah kualitinya. Tawakkal juga bukan hanya menunggu keajaiban nasi ghaib yang turun dari langit tanpa usaha, sebaliknya perlu bermodalkan semangat juang yang tinggi hatta bermandi peluh di sawah padi bagi memperoleh sebutir nasi.
Wallahu a`lam.
No comments:
Post a Comment